Selasa, 26 Mei 2020 | 5:29pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Risiko gelombang baharu sentiasa ada

KUALA LUMPUR: Negara akan sentiasa berdepan risiko gelombang baharu COVID-19 sekiranya rakyat masih lagi bersikap sambil lewa dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatik), Prof Madya Dr Hayati Kadir Shahar, berkata daripada kewujudan pelbagai kluster sebelum ini termasuk yang terbaharu di Depoh Tahanan Imigresen (DTI), pihaknya melihat penularan COVID-19 seperti tiada kesudahannya.

Apatah lagi katanya, berpandukan kepada keadaan sekarang di mana pematuhan rakyat terhadap SOP semakin menurun khususnya ketika sambutan Hari Raya.

Beliau berkata hanya penguatkuasaan dilihat mampu mendisiplinkan rakyat untuk mengawal penularan wabak yang sudah mengorbankan ribuan nyawa di seluruh dunia.

"Gelombang baharu ini memang boleh dijangka dan tidak mustahil berlaku... kita nak tengok juga 14 hari selepas Hari Raya ini sama ada wujudnya peningkatan kes... jadi ia seperti tiada kesudahan, sampai bila kita nak terus adakan perintah kawalan ini.

"Saya lihat kesedaran komuniti terhadap COVID-19 ini masih kurang dan kadar pematuhan juga boleh dikatakan menurun, tak mustahil kes boleh melonjak semula... semalam pun sudah kembali kepada tiga angka.

"Jika rakyat sukar untuk mendisiplinkan diri ketika PKPB, penguatkuasaan PKP adalah sangat wajar dilakukan. Namun jika itu berlaku ia tidak mendatangkan manfaat kepada semua orang dan kebebasan rakyat untuk bergerak juga terbatas," katanya kepada BH, di sini hari ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran negara di mana kes jangkitan COVID-19 menurun berhadapan 'gelombang kedua' dengan segera jika terlalu cepat melonggarkan sekatan bagi mengekang wabak itu.

Pada masa sama, berhubung lonjakan kes membabitkan tahanan imigresen, Dr Hayati berkata, ia boleh mendatangkan kerisauan buat rakyat tempatan kerana risiko tetap ada berikutan ramai lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang belum disaring.

Beliau berkata, selain itu kerajaan juga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk menyediakan tempat, makanan dan rawatan kepada PATI di depoh yang sepatutnya boleh disalurkan buat kegunaan rakyat tempatan.

"Justeru adalah wajar kerajaan menghantar mereka pulang ke negara asal dan kalau boleh ia dilakukan dengan secepat mungkin, " katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X