Ahad, 24 Mei 2020 | 2:40pm
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara hari ini - Foto ihsan Istana Negara
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara hari ini - Foto ihsan Istana Negara

Agong solat sunat Aidilfitri bersama pegawai, kakitangan Istana Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah berkenan menunaikan solat sunat itu bersama 30 jemaah lain, yang dipimpin oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Aziz Che Yacob.

Dalam satu kenyataan, Istana Negara memaklumkan jemaah solat sunat itu terdiri daripada pegawai dan kakitangan istana dan diadakan mengikut garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM).

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara hari ini - Foto ihsan Istana Negara
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara hari ini - Foto ihsan Istana Negara

"Ini adalah julung kali Al-Sultan Abdullah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara berikutan pelaksanaan PKPB untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

"Secara lazimnya, Yang di-Pertuan Agong menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

"Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, Al-Sultan Abdullah turut berkenan bersantap bersama jemaah di Istana Negara," jelas kenyataan Istana Negara, hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut memaklumkan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga meraikan Aidilfitri di Istana Negara dan bukan di Kuantan, Pahang seperti kelaziman berikutan pelaksanaan PKPB.

Berita Harian X