Sabtu, 23 Mei 2020 | 2:11pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (dua dari kiri) ketika mengadakan taklimat menangani penularan wabak penyakit COVID-19. - NSTP/Ihsan FB Dr Adham Baba
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (dua dari kiri) ketika mengadakan taklimat menangani penularan wabak penyakit COVID-19. - NSTP/Ihsan FB Dr Adham Baba

COVID-19: CPRC tetap beroperasi hari raya esok

PUTRAJAYA: Biarpun umat Islam bakal menyambut Aidilfitri esok, operasi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) tetap berjalan seperti biasa dalam menangani penularan wabak penyakit terutama COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata walaupun Aidilfitri menjelang tiba, taklimat terkini membabitkan penularan wabak COVID-19 tetap berjalan seperti biasa di pejabatnya pagi tadi.

Beliau berkata, taklimat itu dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon; Pengarah Kawalan Penyakit, Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Datuk Dr Norhizan Ismail.

"Untuk makluman, CPRC Kebangsaan tetap beroperasi seperti biasa esok. Begitulah pengorbanan mereka dan barisan hadapan lain di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita Mesti Menang dalam perjuangan ini," katanya dalam hantaran melalui akaun Facebooknya hari ini.

Dr Adham turut menasihati semua pihak untuk mematuhi undang-undang, arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa terutama pada musim perayaan ini.

"Bersama kita teruskan perjuangan ini agar rantaian penularan COVID-19 dapat diputuskan!" katanya.

CPRC yang ditubuhkan melalui Rancangan Malaysia Ke-9 (2005-2010), berfungsi sebagai penyelaras, pusat arahan dan koordinasi bagi aktiviti kesiapsiagaan serta respon terhadap kejadian wabak penyakit berjangkit, kecemasan, krisis dan bencana di peringkat kebangsaan.

Ia juga berperanan merancang pembangunan sumber insan, peralatan perlindungan diri, ubat-ubatan dan vaksin agar mencukupi.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X