Sabtu, 23 Mei 2020 | 12:45pm
Pihak berkuasa kini melakukan sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di Lebuhraya Utara Selatan
Pihak berkuasa kini melakukan sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di Lebuhraya Utara Selatan

Buat perjalanan secara bertanggungjawab

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) meminta rakyat untuk lebih bertanggungjawab dalam melakukan perjalanan ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata rakyat yang melakukan perjalanan rentas negeri, tidak perlu mempertaruhkan kesejahteraan diri sendiri dan orang lain.

Katanya, PLUS sentiasa menyokong sepenuhnya inisiatif daripada pihak berkuasa sebagai langkah untuk membendung penularan COVID-19.

"Memahami norma baharu yang memerlukan kita memecahkan tradisi pada musim perayaan ini iaitu untuk terus kekal berada di rumah dan hanya dibenarkan mengunjungi keluarga terdekat di dalam negeri yang sama.

"Segala pengorbanan, masa dan usaha kita setelah mengharungi 65 hari Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu akan menjadi sia-sia sekiranya Zon Hijau dijangkiti kerana kita gagal melaksanakan peranan sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, walaupun sekatan jalan raya yang ketat di sepanjang lebuh raya, namun perjalanan dalam negeri adalah dibenarkan di lebuh raya PLUS.

"Melalui analisa perjalanan trafik, PLUS menjangka kira-kira 1 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya pada musim Syawal ini," katanya,

Azman berkata, dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna, PLUS memantapkan operasi dengan menempatkan 2,900 kakitangan dalam eko-sistem PLUS di lebuh raya.

"Penggunaan dron untuk membuat pemantauan trafik di lokasi-lokasi strategik di lebuh raya serta penutupan operasi lorong tambah nilai di plaza tol untuk membendung penularan COVID-19.

"Seramai 42 kakitangan Pusat Kawalan Trafik ditugaskan setiap hari pada musim perayaan," katanya.

Katanya, semua surau di kawasan rehat dan rawat (R&R) masih ditutup, kecuali tandas awam dan kawasan meletak kenderaan yang dibuka kepada orang ramai.

"Kemudahan pembelian makanan dan minuman secara bungkusan di gerai-gerai R&R dan hentian sebelah terpilih sahaja tetapi pelanggan disaran membuat pesanan makanan terlebih dahulu melalui Pra-Pesanan Makanan menerusi Aplikasi PLUS bagi memastikan penjarakan sosial," katanya.

Berita Harian X