Sabtu, 23 Mei 2020 | 12:25pm
Wakil TNB Kelantan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat TNB kepada asnaf yang mempunyai anak OKU di Tunjung Kota Bharu
Wakil TNB Kelantan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat TNB kepada asnaf yang mempunyai anak OKU di Tunjung Kota Bharu

TNB agih zakat RM4.3 juta kepada 21,000 asnaf

KOTA BHARU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengagihkan zakat berjumlah RM4.3 juta kepada 21,000 penerima daripada golongan asnaf seluruh Semenanjung dan Sabah.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, berkata bantuan itu diagihkan terus warga kerja TNB secara berperingkat sejak awal Ramadan ini.

Beliau berkata, bantuan itu diharapkan meringankan beban golongan asnaf zakat terdiri daripada keluarga miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta B40 yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB

"Menerusi pembabitan warga kerja TNB ini, wang zakat berjumlah RM4.325 juta yang diagihkan sejak awal Ramadan lalu, dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima.

"Menerusi pendekatan ini, Insya Allah dapat mengukuhkan amalan sentiasa

bersyukur, prihatin dan berkongsi rezeki bersama masyarakat," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Roslan berkata, bantuan zakat itu diagihkan dalam bentuk wang saku dan barangan keperluan harian kerana kebanyakan penerima hilang punca pendapatan dalam tempoh PKP dan PKPB.

Katanya, selain menyantuni umat Islam yang terjejas, sebahagian penerima manfaat itu turut membabitkan masyarakat bukan Islam yang layak.

"Semoga usaha murni kami memperoleh keberkatan di bulan Ramadan yang mulia ini.

"Kami juga berharap, sedikit sebanyak ia dapat memberi kegembiraan kepada mereka yang dihimpit kesukaran, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri nanti," katanya.

Berita Harian X