Sabtu, 23 Mei 2020 | 11:01am
Amil MAINJ menyerahkan wang zakat persiapan Aidilfitri kepada penerima yang uzur - Foto NSTP/Ihsan MAINJ
Amil MAINJ menyerahkan wang zakat persiapan Aidilfitri kepada penerima yang uzur - Foto NSTP/Ihsan MAINJ

MAINJ agih RM9.2 juta 'duit raya' asnaf sambut Aidilfitri.

JOHOR BAHRU: Seramai 73,629 asnaf fakir miskin menerima zakat daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bernilai keseluruhan RM9.2 juta bagi menyambut Aidilfitri tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah MAINJ, Khairul Nizam Mat Said, berkata penerima terdiri daripada 6,646 ketua keluarga fakir yang setiap seorang menerima RM300.

Katanya, seramai 7,736 tanggungan fakir akan menerima RM50 seorang.

"Bagi ketua keluarga miskin, seramai 25,832 orang di negeri ini akan menerima RM200 seorang dan seramai 33,415 tanggungannya menerima RM50 seorang.

"Bantuan diterima terus oleh asnaf yang tersenarai dengan hadir ke Pejabat MAINJ daerah masing-masing. Untuk penerima yang uzur, sumbangan disampaikan oleh amil yang dilantik," katanya ketika dihubungi.

MAINJ sebelum ini, memutuskan pelaksanaan pembayaran zakat fitrah seluruh negeri ini dibuat secara dalam talian susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dua kadar zakat fitrah ditetapkan iaitu RM7 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super Tempatan sementara RM10 bagi yang menjadikan makanan hariannya beras selain Super Tempatan.

Namun, kelonggaran diberikan kepada mereka yang tidak dapat membayar secara atas talian, boleh membayar di pejabat daerah MAINJ tanpa membuat temujanji.

Berita Harian X