Jumaat, 22 Mei 2020 | 2:46pm
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang video bersama pasukan barisan hadapan (frontliners) sempena Syawal yang bakal tiba. - Foto Twitter Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang video bersama pasukan barisan hadapan (frontliners) sempena Syawal yang bakal tiba. - Foto Twitter Muhyiddin Yassin

Kawalan sempadan perlu diperketat, sekat pendatang 'bolos' - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kawalan sempadan negara diperketatkan lagi supaya tiada pendatang tanpa izin yang 'bolos' ke negara ini.

Beliau berkata, ini melihat kepada kemungkinan pendatang tanpa izin yang telah pulang ke negara masing-masing sebelum ini akan balik semula ke negara ini.

"Kalau kita tak jaga betul-betul banyak yang akan datang balik ke Malaysia dan tak ada kawalan di pintu perairan Malaysia, itu akan jadi masalah," katanya pada sidang video bersama wakil petugas barisan hadapan negara yang terbabit dalam menangani COVID-19.

Sidang video selama kira-kira 30 minit itu disertai wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Dalam soal keselamatan maritim, Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata pihaknya bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan PDRM giat melaksanakan Op Benteng dengan fokus antara lain diberikan dalam mengawasi pergerakan pelarian dari Myanmar.

"Kami telah menugaskan anggota dengan bantuan TLDM, ...kawalan keselamatan di persempadanan Thailand kini amat ketat," jaminnya.

Mengenai kawalan di sempadan negara secara keseluruhan, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang yakin ia dapat dikendalikan sebalik mungkin dengan pemantauan oleh ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, APMM dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Semua agensi terbabit bekerjasama dengan ATM dan sedang berada di kawasan operasi dalam negara. Saya pasti bahawa apa yang kami khuatiri iaitu sempadan negara dibolosi pendatang tanpa izin yang mungkin membawa wabak COVID-19 dapat ditangani dengan berkesan," katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor pula berkata, pihaknya memasuki fasa baharu dalam aspek kawalan keselamatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

"Kami maklum bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri tinggal beberapa hari sahaja lagi namun dapat dilihat jumlah peningkatan kenderaan orang awam yang ingin balik ke kampung. Pelbagai alasan serta tipu helah digunakan bagi mereka melepasi sekatan jalan raya didirikan pihak polis," katanya.

Jelas Mazlan, pihak polis kekal dengan pendirian tegas untuk mengenakan kompaun terhadap mana-mana individu yang didapati mengingkari larangan rentas negeri bersempena perayaan Aidilfitri hujung minggu ini.

– BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X