Khamis, 21 Mei 2020 | 7:55pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi. - Foto BERNAMA
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi. - Foto BERNAMA

Tambahan 19 barangan harga terkawal

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini menambah 19 barangan harga terkawal lagi di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata ia menjadikan jumlah barangan terkawal di bawah SHMMP adalah 35 barangan.

Katanya, pertambahan barangan itu adalah atas permintaan pengguna dan ia adalah barangan pilihan utama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan turut membabitkan sambutan tiga perayaan iaitu Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

"Penentuan harga barangan yang terpilih dibuat mengikut kesesuaian harga semasa dengan turut mengambil kira faktor perubahan harga terutama bagi barangan import yang dipengaruhi harga dari negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos operasi.

"Tarikh kuat kuasa pertambahan 19 barangan ini adalah pada 22 Mei hingga 3 Jun iaitu selama 13 hari.

"Diharap harga barangan itu adalah terkawal dengan penetapan harga siling di peringkat borong dan runcit terutama di pasar basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, KPDNHEP mengumumkan harga maksimum bagi 16 barangan di bawah SHMMP yang berkuat kuasa selama 15 hari bermula semalam hingga 3 Jun ini bagi Aidilfitri dan Pesta Kaamatan serta Hari Gawai bermula 28 Mei hingga 3 Jun.

Bagaimanapun, terdapat permintaan daripada banyak pihak supaya KPDNHEP meningkatkan jumlah barangan di bawah skim berkenaan.

Alexander berkata, kementeriannya juga akan terus meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas bekalan serta harga barangan di seluruh negara.

"Peniaga perlu mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan, manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka.

"KPDNHEP menyarankan pengguna supaya tidak membuat pembelian berlebihan yang boleh memberi tekanan kepada harga barangan, manakala pengeluar, pemborong serta peruncit diingatkan tidak menaikkan harga secara mendadak selepas berakhirnya pelaksanaan skim ini," katanya.

Beliau berkata, jika didapati ada pihak yang menaikkan harga barangan, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian itu melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1800 886 800, emel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088.

INFO:

Senarai 19 barangan tambahan harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2020

1. Tomato

Semenanjung: RM6

Sarawak: RM7

Sabah: RM5

2. Kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Kubis Beijing)

Semenanjung: RM3

Sarawak: RM4

Sabah: RM3.50

3. Cili merah

Semenanjung: RM13

Sarawak: RM17

Sabah: RM12

4. Lada benggala hijau

Semenanjung: RM10

Sarawak: RM15

Sabah: RM12

5. Kacang panjang

Hanya dikawal di Semenanjung: RM8.50

6. Sawi Hijau

Hanya dikawal di Semenanjung: RM6

7. Bendi

Hanya dikawal di Semenanjung: RM6.50

8. Bawang besar (China)

Semenanjung: RM6.50

Sarawak: RM4

Sabah: RM6

9. Bawang besar (Holland)

Semenanjung: RM5

Sarawak: RM5

Sabah: RM6

10. Ubi kentang import (China)

Semenanjung: RM3

Sarawak: RM3.50

Sabah: RM3.50

11. Cili kering

Semenanjung: RM16

Sarawak: RM17

Sabah: RM18

12. Kacang tanah

Semenanjung: RM9

Sarawak: RM9

Sabah: RM9

13. Ikan kembung termasuk mabung (berat antara tujuh hingga 10 ekor per kg)

Semenanjung: RM15

Sarawak: RM11

Sabah: RM9

14. Ikan selayang (berat antara tujuh ekor hingga 10 ekor per kg)

Semenanjung: RM12

Sarawak: RM9

Sabah: RM9

15. Ikan aya/tongkol (berat antara tujuh ekor hingga 10 ekor per kg)

Hanya dikawal di Pahang, Kelantan dan Terengganu: RM10

16. Ikan segar beku kembung (berat antara lapan ekor hingga 10 ekor per kg)

Hanya dikawal di Semenanjung: RM10

17. Ikan segar beku selayang (berat antara lapan ekor hingga 10 ekor per kg)

Hanya dikawal di Semenanjung: RM10

18. Ikan segar beku selar (berat antara lapan ekor hingga 10 ekor per kg)

Hanya dikawal di Semenanjung: RM10

19. Ikan demudok/Sagai/Cermin/Cupak (berat antara tiga hingga lima ekor per kg)

Hanya dikawal di Sabah: RM15

Berita Harian X