Selasa, 19 Mei 2020 | 4:03pm
Peniaga menjaga penjarakan sosial ketika beroperasi di Lot Kedai Hentian Bas Bandaraya Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Peniaga menjaga penjarakan sosial ketika beroperasi di Lot Kedai Hentian Bas Bandaraya Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Polis mula kompaun individu langgar PKPB

KUALA LUMPUR: Tiada lagi nasihat dan amaran, sebaliknya bermula semalam, polis mula mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melanggar peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan seramai 127 individu ditahan polis semalam atas kesalahan melanggar SOP PKPB. Daripada jumlah itu 124 direman, tiga dibebaskan dengan jaminan polis. PDRM juga mengeluarkan 15 kompaun.

Jelasnya, polis akan mengambil tindakan lebih tegas selepas ini jika orang ramai masih berdegil melanggar peraturan PKPB, termasuk menghadapkan mereka ke mahkamah.

"Bermula semalam, polis mula mengeluarkan kompaun. Setakat ini, mungkin belum ada yang dihadapkan ke mahkamah, tapi selepas ini akan ada jika didapati melanggar SOP PKPB.

"Jangan ada anggapan polis akan biar saja pelanggaran ini tanpa tindakan undang-undang.

"Saya harap semua orang akan patuh pada setiap peraturan dan SOP yang dikeluarkan kerajaan. Jangan ambil kesempatan daripada tindakan awal polis yang hanya beri nasihat dan amaran," katanya selepas mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan, pasukan operasi pematuhan PKPB diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), membuat 74,809 pemeriksaan semalam, membabitkan 5,139 pasar raya, 5,029 restoran, 885 penjaja, 1,563 kilang serta 3,946 bank.

Pemeriksaan juga dibuat di 1,103 terminal pengangkutan darat, 221 terminal pengangkutan air dan 111 terminal pengangkutan udara.

Pasukan Operasi Pematuhan PKPB juga sudah memeriksa 26,558 kenderaan persendirian, 2,945 kenderaan awam dan dan satu kapal, selain 3,022 pasar awam, 4,138 tempat ibadat, 1,583 tempat riadah dan 600 tapak binaan.

"Semua pihak diingatkan supaya mengikuti SOP dan peraturan yang ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19," katanya.

Pada masa sama, sebanyak 6,640 operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah dijalankan sejak 30 Mac lalu, merangkumi 174 zon merah dan kuning dan membabitkan 10,247 premis kerajaan, perniagaan dan kawasan awam.

Orang ramai mematuhi SOP PKPB ketika membeli barangan keperluan di Pasar Pagi Pokok Sena ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini. - FotoBERNAMA
Orang ramai mematuhi SOP PKPB ketika membeli barangan keperluan di Pasar Pagi Pokok Sena ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini. - FotoBERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X