Selasa, 19 Mei 2020 | 3:16pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi menunjukkan harga barangan pada sidang media pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi menunjukkan harga barangan pada sidang media pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Harga siling ayam standard RM7.50 sekilogram

PUTRAJAYA : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mengumumkan harga maksimum bagi 11 jenis barang melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata SHMMP bagi Aifdilfitri itu akan dikuatkuasakan selama 15 hari bermula esok hingga 3 Jun ini.

Pada masa sama, KPDNHEP turut umumkan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Dayak yang masing-masing bermula pada 28 Mei hingga 3 Jun ini yang turut membabitkan 11 barangan yang ditentukan harga siling antaranya ayam, telur ayam, daging lembu tempatan dan import serta kelapa.

Katanya, kesemua harga barangan berkenaan kembali kepada paras normal berbanding beberapa tahun lalu walaupun negara kini sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Contohnya ayam standard, harga runcit yang ditetapkan ialah RM7.50 bagi sekilogram dan ia adalah kenaikan normal selepas PKP dilaksanakan. Jangan bandingkan harga ayam ini ketika PKP dengan harga yang dinyatakan kini kerana memang ada nampak sedikit kenaikan.

"PKP itu ialah senario luar biasa yang terjadi di negara ini, bandingkan harga ayam tahun sebelum ini dan harga yang ditetapkan adalah di paras normal.

"Ini kerana semasa PKP, harga ayam turun secara mendadak kerana permintaan berkurangan, kedai dan restoran tidak dibuka dan ia menjadi salah satu penyebab harga berkenaan berkurangan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan harga maksimum barangan terkawal SHMMP Musim Perayaan Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Dayak, di sini, hari ini.

Bagi SHMMP Hari Raya Puasa, 11 barangan yang ditentukan harga siling ialah ayam hidup (RM6.20 sekilogram), ayam standard (RM7.50 sekilogram), ayam super (RM8.40), telur ayam gred A (40 sen sebiji), telur ayam gred B (39 sen sebiji) dan telur ayam gred C (38 sen sebiji).

Daging lembu tempatan ditetapkan pada harga RM34 sekilogram, daging kerbau diimport India (RM20 sekilogram), kelapa biji harga borong (RM1.90) dan kelapa parut dijual harga runcit (RM7.20/kg).

Untuk Pesta Kaamatan 11 barangan yang disenaraikan ialah ayam hidup (RM6.60 sekilogram), ayam standard (RM9.50), ayam super (RM9.80), kepak ayam (RM13), telur ayam gred A (41 sen sebiji), telur ayam gred B (40 sen sebiji), telur ayam gred C (39 sebiji), daging kerbau import India (RM21), babi hidup (dikawal di peringkat ladang RM11 sekilogram), daging babi bahagian perut (RM22) dan daging babi (RM20).

Bagi Hari Gawai Dayak pula ialah ayam hidup (RM6.70 sekilogram), ayam standard (RM8.50), ayam super (RM9.50), kepak ayam (RM12.00), ayam tua hidup (RM7.90), telur ayam gred A (39 sen sebiji), telur ayam gred B (38 sen sebiji), telur ayam gred C (37 sen sebiji), babi hidup (dikawal di peringkat ladang RM10), daging babi bahagian perut (RM19.50) dan daging babi (RM18.50).

Alexander berkata bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga, tindakan denda maksimum akan dikenakan kerana kelakuan itu ternyata melanggar peraturan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.

Berita Harian X