Ahad, 17 Mei 2020 | 6:46pm
Pengawal Keselamatan mengambil suhu badan Muhd Affan Kaisar Mustapa, 4, ketika hadir menemani ibunya Nor Azhana Ab Rahman ketika bertugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. - Foto hiasan
Pengawal Keselamatan mengambil suhu badan Muhd Affan Kaisar Mustapa, 4, ketika hadir menemani ibunya Nor Azhana Ab Rahman ketika bertugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. - Foto hiasan

COVID-19: Individu dewasa boleh jadi pembawa

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil mudah kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana individu dewasa berisiko tinggi menjadi pembawa virus tanpa disedari.

Ramai yang positif COVID-19 hanya mengalami gejala ringan atau langsung tiada gejala dan akan menyebarkan virus itu kepada orang lain.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata Kementerian Kesihatan semalam, mendedahkan jangkitan virus itu sudah menular dalam kalangan ramai kanak-kanak.

Katanya, meskipun tiada kematian membabitkan golongan itu, seramai 317 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dikesan positif virus itu dan Selangor mencatatkan kes jangkitan tinggi dan ini setara dengan beban kes pesakit dewasa.

Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh. - NSTP/Rohanis Shukri
Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh. - NSTP/Rohanis Shukri

"Perlu diingat seseorang dewasa itu boleh menjadi pembawa virus tanpa dia menunjukkan sebarang gejala. Justeru, ibu bapa mengelak daripada dijangkiti dengan cara kurang berjumpa orang, tidak kunjung-mengunjung, amalan sanitasi diri dan sentiasa memakai pelitup muka.

"Ini langkah perlu dipraktikkan setiap orang kerana jika pengesanan awal membolehkan pesakit kanak-kanak dirawat segera dan mengelakkan komplikasi," katanya hari ini.

Katanya, jangkitan kepada kanak-kanak berlaku daripada ibu bapa atau ahli keluarga mereka sendiri.

"Ibu bapa menjaga keselamatan masing masing dan keluarga mereka sendiri, mengelak keluar rumah jika tiada keperluan penting.

"Namun keadaan sekarang, ada kalangan mereka terpaksa keluar mencari rezeki dan bekerja dan ini akan mendedahkan kembali bahaya COVID-19," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah berusaha sedaya upaya dan wabak di negara ini berjaya ditangani dengan baik.

"Kejayaan itu kerana wujud kerjasama baik antara Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kementerian lain memberikan impak positif.

"Bagaimanapun dengan ada kelonggaran PKPB dan menjelangnya perayaan Aidilfitri, ramai mengambil mudah akan kemungkinan dan risiko jangkitan penyakit COVID-19 itu," katanya.

Katanya, kajian sedia ada terutama dari luar negara mendapati penyakit itu berupaya menjangkiti kanak-kanak dengan kadar yang lebih rendah.

"Di luar negara, ada kematian membabitkan korban kanak-kanak. Hal ini kerana gejala yang ditunjukkan kanak-kanak berlainan daripada dewasa.

"Kebanyakan mereka tidak menunjukkan gejala, namun sebilangan kecil akan mengalami demam dan gejala jangkitan pernafasan seperti batuk," katanya.

Katanya, kanak-kanak boleh dijangkiti dengan gejala tidak tipikal seperti cirit-birit, conjunctivitis, ruam kemerahan di kaki dan tangan dan boleh mengakibatkan radang ke jantung hingga sekali gus menyebabkan kegagalan organ itu seperti sindrom Kawasaki.

"Pemeriksaan awal darah lazimnya menunjukkan gejala seperti jangkitan denggi, iaitu platelat darahnya menurun (leucopenia).

"Segera bawa mereka ke hospital jika didapati tidak sihat. Bagi anak kecil, anak istimewa dan pada yang tidak diberikan vaksin yang mencukupi, sistem imuniti anak mungkin terjejas dan meningkatkan risiko jangkitan," katanya.

Katanya, ibu bapa yang berisiko tinggi misalnya yang baru pulang dari tempat kerja atau berurusan di luar rumah dalam tempoh lama, digalakkan menyaring diri sendiri meskipun tiada gejala.

Ini terutama, beliau berkata, jika dalam keluarga itu mempunyai anak anak kecil, orang kurang upaya atau warga emas.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X