Sabtu, 16 Mei 2020 | 1:59pm
Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - Foto BERNAMA

Mukhriz umum kedudukan esok

ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka mengumumkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Kedah pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, pagi esok.

Pengumuman itu ada kaitan dengan kedudukan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) campur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selain jawatannya sebagai Menteri Besar.

Kedah adalah negeri PH keempat tumbang selepas Johor, Melaka dan Perak berikutan pembentukan gabungan Perikatan Nasional (PN) apabila BERSATU keluar PH dan membentuk kerjasama dengan BN, PAS dan UMNO di peringkat persekutuan.

Tinjauan di Wisma Darul Aman hari ini, mendapati persiapan bagi majlis angkat sumpah Menteri Besar baharu sedang giat dilakukan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah.

Difahamkan, majlis angkat sumpah akan diadakan pada sebelah petang sebelum satu sidang media akan diadakan di Kompleks PAS Kedah.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dijangka dilantik sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14.

Selasa lalu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada BERSATU.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (empat), UMNO (dua) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU (Tun Dr Mahathir Mohamad - dua), UMNO (dua) dan BEBAS (dua).

Berita Harian X