X
Jumaat, 15 Mei 2020 | 1:20pm

100 warga Malaysia di Chennai pulang Isnin ini

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 pelajar dan pekerja Malaysia yang kini berada di Chennai dan Tiruchirappalli, India dijangka pulang ke tanah air dengan pesawat sewa khas, Isnin ini.

Sebelum ini, kumpulan pelajar dan pekerja berkenaan cuba mendapatkan bantuan pelbagai pihak untuk pulang ke tanah air tetapi gagal.

Wakil pelajar yang ingin dikenali sebagai Abdullah berkata, dengan bantuan ibu bapa serta pertolongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akhirnya mereka mendapat menyewa pesawat Malindo Air untuk pulang ke tanah air.

Difahamkan, kumpulan itu cuba menghubungi konsulat dan kedutaan Malaysia di India untuk mendapatkan bantuan tetapi perintah berkurung di negara berkenaan menyebabkan ketiadaan penerbangan yang menyukarkan bantuan disalurkan.

Abdullah menjelaskan mereka menyuarakan hasrat untuk pulang ke Malaysia berikutan situasi COVID-19 di negara berkenaan semakin membimbangkan.

Katanya, Chennai adalah sebuah daerah di Tamil Nadu yang diklasifikasikan sebagai zon merah yang mana sehingga kelmarin sebanyak 8,718 kes disahkan positif di wilayah itu.

"Tamil Nadu kini berada di tempat ketiga tertinggi kes positif COVID-19 di India," katanya.

Beliau berkata, pelajar Malaysia yang berada di kawasan lain seperti Bangalore dan Belgaum telah selamat sampai ke Malaysia.

"Kami juga mahu pulang kerana komuniti tempatan juga menyarankan kami untuk balik kerana jika berlaku apa-apa, kemungkinan semua urusan akan menjadi lebih rumit selepas ini.

"Sebelum ini atas usaha beberapa ibu bapa, ada syarikat penerbangan sudi membantu tetapi mengenakan bayaran sehingga RM7,000 yang pastinya di luar kemampuan kami.

"Untuk penerbangan Malindo Air ini kami difahamkan harga jauh lebih murah. Kebiasaannya harga tiket penerbangan dari Chennai ke Kuala Lumpur sekitar RM600 hingga RM1,000," katanya.

Difahamkan kebanyakan pelajar yang berada di Chennai mengikut pengajian perubatan dan pergigian manakala pekerja terbabit dalam sektor teknologi maklumat dan industri.

Mac lalu, kerajaan membawa pulang kira-kira 1,000 rakyat Malaysia yang terkandas di India yang kebanyakannya bercuti, mengerjakan ibadah dan bekerja di negara berkenaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X