Jumaat, 15 Mei 2020 | 12:31pm
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Jumlah anggota ATM bantu kuat kuasa PKP kekal

KUALA LUMPUR: Jumlah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit membantu agensi penguatkuasa lain menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kekal lebih 7,000 anggota.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata jumlah berkenaan kekal walaupun PKP memasuki fasa baharu iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sehingga kini ATM banyak membantu penugasan sekatan jalan raya selain membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan COVID-19 dan menghantar bantuan peralatan, kelengkapan, pakaian perlindungan diri (PPE) di Sabah serta Sarawak.

"ATM turut membantu dalam memasang kawat duri di kawasan dikenakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dalam memudahkan pihak KKM melakukan saringan di kawasan misalnya di Pasar Jalan Othman iaitu kawasan PKPD Kelapan yang masih berjalan," katanya dalam program 'Selamat Pagi Malaysia' di Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini, hari ini.

Affendi berkata, khidmat ATM akan terus dikerah selagi mana ia diperlukan dalam bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain sepanjang tempoh PKP ini.

"Kini masuk ke fasa PKPB, ATM terus melaksanakan tanggungjawab sama dalam membuat sekatan, rondaan serta memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dipatuhi," katanya. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X