Khamis, 14 Mei 2020 | 11:44pm

JAS laksanakan Operasi Air Raya 2020 hingga 29 Mei

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan kelangsungan pembekalan air terawat kepada pengguna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan musim perayaan nanti, Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan Operasi Air Raya 2020 di seluruh negara mulai hari ini hingga 29 Mei depan.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar, berkata langkah itu bertujuan mencegah isu pencemaran air sungai dengan memfokus penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya kepada premis atau punca pencemaran yang terletak di hulu takat pengambilan air.

Beliau berkata, program penguatkuasaan itu membabitkan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), badan kawal selia air negeri, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), pihak berkuasa tempatan, operator loji rawatan air dan agensi lain pada peringkat negeri.

Katanya, pasukan tindakan khas JAS juga sentiasa bersedia 24 jam bagi menjalankan penguatkuasaan dan siasatan terhadap kes pencemaran yang dikategorikan sebagai kecemasan serta berkepentingan awam yang memerlukan tindakan segera.

"Pihak industri dan sektor beroperasi sepanjang tempoh PKPB, terutama yang terletak di hulu takat pengambilan air, hendaklah sentiasa memastikan pelepasan air buangan mematuhi piawai ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, pengurusan buangan terjadual perlu diberi perhatian yang serius dan hendaklah diurus dengan baik mengikut undang-undang dan garis panduan, selain dikitar semula atau dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja.

"Ini kerana buangan terjadual yang mempunyai ciri berbahaya boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia serta pencemaran air, udara dan tanah. Pihak industri dilarang sama sekali melupuskan buangan terjadual secara haram," katanya.

JAS turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menyebabkan pencemaran air sungai.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar kepada JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke: aduan_k@doe.gov.my. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X