Khamis, 14 Mei 2020 | 4:38pm
Bangunan Kementerian Luar Negeri. - Foto hiasan NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Bangunan Kementerian Luar Negeri. - Foto hiasan NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Raja Salman sumbang 7 juta peralatan perubatan

PUTRAJAYA: Putrajaya: Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud bermurah hati menyumbangkan peralatan perubatan kepada kerajaan Malaysia, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hisamuddin Hussein.

Beliau berkata berita baik mengenai sumbangan itu dikongsikan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan sewaktu mengadakan pertemuan bersama beliau di Wisma Putra semalam.

Hisamuddin berkata, Kerajaan Arab Saudi menyumbang kira-kira tujuh juta unit peralatan perubatan bagi membantu Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani penularan wabak COVID-19.

Sumbangan peralatan perubatan itu disalurkan melalui Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman.

"Pada ketika ini sebanyak satu juta pelitup muka dari jenis N95 sudah tiba dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi kegunaan barisan hadapan kesihatan. Lain-lain peralatan perubatan akan sampai ke Malaysia secara berperingkat," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kerajaan Arab Saudi turut menyumbangkan peralatan perubatan lain terdiri dari pelitup muka pembedahan (5 juta unit); Jumpsuit Overalls (741,840); perisai muka (300,000); penutup kepala (200,000); pakaian pelindung (200,000); penutup atas (100,000); alat pengudaraan mudah alih (109 unit); peralatan pengudaraan tidak invasif (80) dan peralatan ventilator unit rawatan rapi (80).

Hishammuddin berkata, perkenan Raja Salman dan kesanggupan Kerajaan Arab Saudi membantu Malaysia itu membuktikan keakraban hubungan dua hala antara dua negara yang sudah lama terjalin.

Bagi pihak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan seluruh rakyat Malaysia, saya berterima kasih kepada Raja Salman dan seluruh kepimpinan tertinggi Kerajaan Arab Saudi atas bantuan berkenaan.

"Saya mendoakan semoga hubungan baik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara ini terus utuh dan berkekalan," katanya.

Berita Harian X