Rabu, 13 Mei 2020 | 2:35pm

'Saya masih Menteri Besar'

ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan beliau masih memegang jawatan Menteri Besar dan kerajaan negeri pimpinannya masih beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata, pihak pembangkang tidak boleh mengumumkan pertukaran kerajaan negeri dengan hanya membuat sidang media dan tindakan menukar Menteri Besar perlu melalui proses tertentu.

Katanya, pembangkang sepatutnya mengusulkan undi tidak percaya ke atas beliau melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan bukannya dengan mengumpul Akuan Bersumpah dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Suasana politik di Kedah masih terkawal, saya masih Menteri Besar dan kerajaan negeri masih wujud. Tidak benar dakwaan mana-mana pihak bahawa kerajaan ini sudah jatuh semalam.

"Ada beberapa proses perlu dilaksanakan termasuk membabitkan Sultan Kedah sebelum perkara itu (pertukaran kerajaan negeri) boleh berlaku, jadi selagi belum berlaku maka kerajaan masih beroperasi seperti biasa.

"Mesyuarat hari ini juga setuju bagi menentukan Menteri Besar masih mempunyai sokongan atau tidak, kami akan mencadangkan kepada Sultan Kedah supaya ia diputuskan melalui Sidang DUN," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat EXCO yang tidak dihadiri tiga EXCO iaitu Halimaton Shaadiah Saad (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Azman Nasrudin (Pertanian dan Sumber Tani) dan Firdaus Ahmad (Penerangan, Komunikasi dan Multimedia).

Mukhriz berkata, semua pihak perlu patuh kepada Perlembagaan dan Undang Undang Tubuh Negeri dalam menentukan siapa wajar dilantik menjadi Menteri Besar serta menubuhkan kerajaan negeri.

"Ada interpretasi Perlembagaan menyatakan perkara ini boleh dibawa ke DUN dan ahli boleh berbincang secara tertib serta mengemukakan hujah mengapa hilang kepercayaan kepada Menteri Besar sebelum proses undian dibuat.

"Dalam perlembagaan menjelaskan peranan Tuanku Sultan dalam melantik Menteri Besar dalam kalangan ADUN yang mendapat sokongan majoriti, namun bagi memberhentikan Menteri Besar perkara itu tidak jelas.

"Disebabkan itu saya sudah mendapat mandat daripada EXCO untuk mengemukakan syor agar ia diputuskan pada Sidang DUN dan terpulang kepada Tuanku Sultan bagi memperkenankannya," katanya.

Mengulas mengenai Akuan Bersumpah yang dibuat 23 ADUN termasuk dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), beliau menjelaskan semua ADUN Pakatan Harapan dan BERSATU sudah menandatangani SD menyokong beliau kekal sebagai Menteri Besar sebelum ini.

"Ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan di Pusat, saya balik ke sini dan berjumpa semua ADUN PH dan BERSATU bagi mewujudkan kerajaan negeri PH campur BERSATU.

"Saya tidak mengatakan SD tidak boleh dipakai, namun Ketua Pembangkang (Muhammad Sanusi Md Nor) perlu melalui proses betul kerana pada sidang media beliau, tidak nampak 23 ADUN jadi bagaimana kita mahu pastikan sokongan berkenaan," katanya.

Semalam, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada BERSATU.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (empat), UMNO (dua) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan BEBAS (dua).

Berita berkaitan:

  • Mukhriz rasa dikhianati kawan-kawan
  • Mukhriz umum kedudukan hari ini
  • Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - Foto BERNAMA
    Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X