Selasa, 12 Mei 2020 | 3:34pm
Bermula esok, polis akan terus mengambil tindakan kompaun atau pendakwaan di mahkamah terhadap mereka yang melanggar syarat serta SOP PKPB. - NSTP/Aswadi Alias
Bermula esok, polis akan terus mengambil tindakan kompaun atau pendakwaan di mahkamah terhadap mereka yang melanggar syarat serta SOP PKPB. - NSTP/Aswadi Alias

Tiada lagi nasihat, amaran langgar PKPB

KUALA LUMPUR: Bermula esok, polis akan terus mengambil tindakan kompaun atau pendakwaan di mahkamah terhadap mereka yang melanggar syarat serta prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

PKPB dilaksanakan pada 4 hingga 12 Mei lalu sebelum dilanjutkan sehingga 9 Jun depan dengan beberapa kelonggaran diberikan, namun ada yang dilihat mengambil kesempatan keluar beramai-ramai dan bergerak bebas, termasuk membawa anak ke pusat beli-belah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan bahawa PKPB boleh ditarik balik dan kembali menjadi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tertakluk kepada kepatuhan rakyat yang kini menikmati sedikit kelonggaran.

Katanya, laporan diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan banyak kes membabitkan ketidakpatuhan rakyat terhadap persatuan dan SOP PKPB dikesan.

"Dalam mesyuarat tadi, kita memutuskan fasa nasihat dan amaran sudah berakhir. Oleh itu, PDRM diberi kuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar SOP di bawah PKPB.

"Di bawah Akta 342, kesalahan melanggar SOP dan peraturan boleh berdepan hukuman kompaun RM1,000 dan jika dibawa ke mahkamah, hukumannya RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Bercakap pada sidang media disiarkan secara langsung selepas mesyuarat khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di Putrajaya hari ini, beliau memberi contoh, satu video tular diterimanya semalam merakamkan kehadiran orang ramai ke warung di Kampung Pandan.

"Saya terima video tular itu semalam (kelmarin) dan menyangkakan ia adalah palsu. Jadi, saya menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum beliau mengesahkan ia adalah berita benar.

"Saya nak tekankan bahawa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berkuat kuasa dan apabila kita melonggarkan (PKB), rakyat mesti patuh kerana bimbang kes baharu akan berlaku dan kes positif COVID-19 meningkat," katanya.

Katanya, jika rakyat mahu terus menikmati kelonggaran diberikan di bawah PKPB atau mahu perintah berkenaan ditamatkan, mereka perlu patuh syarat dan SOP ditetapkan.

"Saya beri peringatan bahawa PKPB bukan boleh terus kekal PKPB, sebaliknya ia boleh menjadi PKP semula, tertakluk kepada kepatuhan rakyat yang kini menikmati sedikit kelonggaran.

"Pesanan saya, teruskan berada di rumah, patuh kepada undang-undang dan saranan kerajaan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X