Ahad, 10 Mei 2020 | 9:38am

COVID-19: PKPD kelapan di sekitar Pasar Jalan Othman PJ

PUTRAJAYA: Kawasan sekitar Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya kini diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 23 Mei depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam satu kenyataan pagi ini, berkata ia susulan nasihat Menteri Kesihatan, selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 26 kes positif COVID-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan itu.

Beliau berkata, perintah PKPD itu membabitkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan tiga zon di kawasan berkenaan.

"Kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melaksanakan arahan kelapan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau Enhanced Movement Control Order (EMCO) di kawasan berikut, Zon A, Zon B dan Zon C.

"Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar.

"Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuatkuasa," katanya.

Lokasi perintah PKPD kelapan ini membabitkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan di kawasan berkenaan. - Foto BERNAMA
Lokasi perintah PKPD kelapan ini membabitkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan di kawasan berkenaan. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, Zon A membabitkan kawasan di Jalan Penchala,Petaling Jaya; Jalan 4/33, Petaling Jaya; Jalan 4/37, Petaling Jaya; Jalan 4/39, Petaling Jaya; Jalan 4/41, Petaling Jaya; Jalan 4/44, Petaling Jaya; Jalan Terus 4/42, Petaling Jaya; Jalan 4/43, Petaling Jaya; Jalan 4/46, Petaling Jaya dan Jalan Othman 4/4D, Petaling Jaya.

Zon B pula membabitkan Jalan 2/29, Petaling Jaya; Jalan 2/29A, Petaling Jaya; Jalan 2/27, Petaling Jaya; Jalan 2/32, Petaling Jaya;Jalan 2/25, Petaling Jaya; Jalan 2/26, Petaling Jaya;Jalan 2/34, Petaling Jaya; Jalan 2/34A, Petaling Jaya; Jalan 2/23, Petaling Jaya; Jalan Dispensary 2/38, Petaling Jaya dan Jalan Pasar 1/21, Petaling Jaya.

Zon C membabitkan Jalan Selangor, Petaling Jaya; Lorong 3/57D, Petaling Jaya; Lorong 3/57C, Petaling Jaya; Jalan RIDA 3/56, Petaling Jaya dan Jalan Sentosa 3/57, Petaling Jaya.

Ismail Sabri berkata, dengan pelaksanaan perintah itu, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Beliau berkata, bukan penghuni dan pelawat pula tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan manakala semua aktiviti perniagaan dihentikan di kawasan berkenaan.

Peta kawasan yang terbabit dengan tindakan PKPD sekitar Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya mulai pagi ini hingga 23 Mei depan.
Peta kawasan yang terbabit dengan tindakan PKPD sekitar Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya mulai pagi ini hingga 23 Mei depan.

Anggota tentera berkawal di jalan masuk di Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya. - NSTP/Fathil Asri
Anggota tentera berkawal di jalan masuk di Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya. - NSTP/Fathil Asri

Katanya, Pangkalan Perubatan (Medical Base) juga dibuka di kawasan PKPD dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

"Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

"Semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

"Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP Petaling Jaya di talian 016-980 9389, atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222," katanya.

Anggota tentera memasang pagar kawat berduri di kawasan perumahan Seksyen 2 Jalan Penchala awal pagi ini. Kawasan Pasar Jalan Othman di daerah itu menjadi kawasan terbaharu yang dilaksanakan PKPD, berkuatkuasa mulai hari ini hingga 23 Mei. - Foto BERNAMA
Anggota tentera memasang pagar kawat berduri di kawasan perumahan Seksyen 2 Jalan Penchala awal pagi ini. Kawasan Pasar Jalan Othman di daerah itu menjadi kawasan terbaharu yang dilaksanakan PKPD, berkuatkuasa mulai hari ini hingga 23 Mei. - Foto BERNAMA

Sementara itu, kawalan keselamatan sudah mula dipertingkatkan di kawasan sekitar Pasar Jalan Othman itu sejak tengah malam tadi, dengan pemasangan kawat duri oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain sekatan jalan raya oleh polis, di kebanyakan laluan di situ.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pada 5 Mei lalu dilaporkan berkata, sebanyak 24 kes COVID-19 daripada kluster Pasar Borong Kuala Lumpur dikesan di dua pasar di Petaling Jaya.

Beliau berkata, 23 kes direkodkan di Pasar Besar Jalan Othman dan satu kes di Pasar Taman Megah, Petaling Jaya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Gambar fail, peniaga dan pekerja diseru menjalani saringan COVID-19 selepas terdapat peniaga didapati positif wabak COVID-19 dipercayai dari kluster Pasar Borong Kuala Lumpur ketika tinjauan Pasar Jalan Othman yang ditutup di Petaling Jaya pada 29 April lalu. - NSTP/Aizuddin Saad
    Gambar fail, peniaga dan pekerja diseru menjalani saringan COVID-19 selepas terdapat peniaga didapati positif wabak COVID-19 dipercayai dari kluster Pasar Borong Kuala Lumpur ketika tinjauan Pasar Jalan Othman yang ditutup di Petaling Jaya pada 29 April lalu. - NSTP/Aizuddin Saad
    Kawasan sekitar Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya kini diletakkan bawah PKPD bermula hari ini hingga 23 Mei depan. - NSTP/Fathil Asri
    Kawasan sekitar Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya kini diletakkan bawah PKPD bermula hari ini hingga 23 Mei depan. - NSTP/Fathil Asri
    Berita Harian X