Jumaat, 8 Mei 2020 | 4:14pm
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain (kiri) melihat Lans Koperal Muntazar Mohd Solah melakukan imbasan Kod Respons Pantas (QR) aplikasi Gerak Malaysia yang digunakan orang awam untuk pergerakan rentas negeri selama empat hari berakhir 10 Mei ini ketika membuat pemantauan pergerakan rentas negeri di sekatan jalan raya Tol Simpang Pulai, Ipoh hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain (kiri) melihat Lans Koperal Muntazar Mohd Solah melakukan imbasan Kod Respons Pantas (QR) aplikasi Gerak Malaysia yang digunakan orang awam untuk pergerakan rentas negeri selama empat hari berakhir 10 Mei ini ketika membuat pemantauan pergerakan rentas negeri di sekatan jalan raya Tol Simpang Pulai, Ipoh hari ini. - Foto BERNAMA

Syor kerajaan nilai semula kelonggaran pergerakan

KUALA LUMPUR: Pakar kesihatan awam mahu kerajaan menilai semula kelonggaran pergerakan berikutan ketika ini masih tiada vaksin atau imuniti kelompok yang mampu memulihkan wabak COVID-19.

Meskipun kes jangkitan baharu Malaysia kekal dua angka, kewujudan kluster baharu dikhuatiri berupaya mencetuskan gelombang ketiga virus yang kini sudah mengorbankan 107 nyawa di negara ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata dengan ketiadaan vaksin khas atau imuniti kelompok, Malaysia mungkin berdepan beberapa gelombang kecil hingga mengakibatkan penularan virus ke seluruh negara.

"Selagi tiada penemuan vaksin khas, kita terus berdepan kewujudan gelombang kecil, dan dengan kelonggaran pergerakan dan operasi perniagaan semula ia akan mengakibatkan kes jangkitan baharu, seterusnya peningkatan bilangan kematian.

"Kerajaan wajar mengehadkan pergerakan iaitu hanya di Zon Hijau. Ini berikutan adalah sukar melakukan kawalan dalam Zon Merah disebabkan bilangan penduduk yang tinggi," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Penentuan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan pada Selasa depan atau dilanjutkan lagi akan diketahui dalam masa terdekat selepas kerajaan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

Hal itu mencetuskan kebimbangan bahawa Malaysia bakal berdepan gelombang ketiga dan sejauh mana kesiapsiagaan kemudahan kesihatan awam negara susulan kewujudan kluster pendatang asing, pembukaan pusat beli-belah dan penjarakan sosial tidak dipatuhi orang ramai.

Dr Sharifa Ezat yang juga Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan) Fakulti Perubatan UKM, berkata fasiliti kesihatan awam negara ini mempunyai kemampuan mencukupi buat rakyat tempatan.

Bagaimanapun, katanya perkembangan terkini menunjukkan pertambahan pesakit baharu dalam kalangan warga asing.

"Sistem pembayaran bersama (copayment) perlu dipraktikkan kerana ketika ini majikan sepenuhnya menanggung kos ujian ke atas pekerja asingnya. Inisiatif itu akan membuatkan lebih ramai tampil menjalani saringan berikutan mereka mahu kembali bekerja.

"Masalahnya kini, kebanyakan majikan enggan melakukan ujian saringan kerana membabitkan kos tinggi dan dalam hal ini, kerajaan perlu bertegas menangani isu ini dan kebenaran beroperasi hanya diberi kepada majikan yang bersedia melaksanakannya," katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi, Jabatan Perubatan Kesihatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Noran Naqiah Hairi, berkata selain menyesuaikan diri dengan normal baharu pandemik COVID-19, masyarakat perlu mematuhi tanggungjawab sosial masing-masing.

"Sekiranya masyarakat tiada disiplin dalam menjaga penjarakan sosial akan ada penularan mikro (micro-outbreaks) dan mewujudkan kluster baharu hingga tidak mustahil Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan semula disebabkan peningkatan kes secara mendadak.

"Semua ini akan terjadi meskipun fasiliti kesihatan negara bekerja keras untuk menangani penularan wabak pandemik itu. Bagaimanapun PKP semula itu mungkin bersifat setempat iaitu pergerakan terhad hanya di dalam komuniti yang terbabit sahaja," katanya.

Katanya, dalam mengesan jangkitan baharu, hanya ujian penyelesaiannya kerana sukar untuk mengetahui dan memantau apa yang sedang berlaku, terutamanya dalam kalangan individu dengan jangkitan ringan, individu prasimptomatik dan tanpa gejala.

"Mereka ini sukar untuk didiagnosis tanpa ujian saringan. Ini kemudiannya perlu disusuli dengan pengesanan kontak atau contact tracing.

"Kita perlu perlu terima hakikat bahawa pandemik COVID-19 akan terus berlegar dalam kalangan masyarakat. Justeru tiga perkara penting yang perlu diambil berat, ialah mengelakkan berada di tempat sesak, di kawasan tertutup dan elakkan bercakap pada jarak yang dekat (kurang dari satu meter)," katanya.

Beliau berkata, kehidupan hanya kembali kepada normal asal sekiranya vaksin yang diperoleh berkesan dan diberikan kepada penduduk serta rawatan antivirus ditemui dan dapat digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

"Pada masa ini, langkah berkesan mencegah COVID-19 ialah menjaga dan mempraktikkan amalan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun, menggunakan pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial dengan jarak sekurang-kurangnya satu hingga dua meter antara satu dengan lain," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X