Rabu, 6 Mei 2020 | 6:18pm

COVID-19: KKM kaji keberkesanan kit ujian pantas

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti keberkesanan 200,000 kit ujian pantas (RTK) antigen yang dibeli, sebelum membuat tempahan tambahan dari Korea Selatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya ketika ini sedang mengumpulkan data mengenai kadar penggunaan 50,000 RTK yang sudah diagihkan di beberapa kawasan strategik bagi meningkatkan kemampuan mengendalikan ujian saringan.

Katanya, hasil penelitian terhadap kit ujian berkenaan akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat, selain mempertimbangkan kemungkinan untuk membuat tempahan tambahan selanjutnya.

"Kita sudah agihkan RTK kepada semua, tetapi data berhubung kadar penggunaannya masih dikumpulkan, justeru ia akan dimaklumkan dalam sehari dua lagi.

"KKM nak lihat dulu pada 50,000 RTK yang digunakan, kaji keberkesanannya dan jika hasil bagus dari segi ketepatan, mungkin kita akan tempah lebih lagi," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Menyentuh unjuran KKM, Dr Noor Hisham berkata, model perkiraan mendapati sasaran mencapai satu angka kes baharu COVID-19 terpaksa dianjakkan selama seminggu, dari 5 Mei kepada 12 Mei ini.

Bagaimanapun, katanya, keutamaan kementerian ketika ini adalah bagi memastikan kes penularan COVID-19 di Malaysia berada dalam keadaan terkawal, manakala semua kemudahan kesihatan berupaya menampung jumlah kemasukan pesakit baharu.

"Sebelum kita unjurkan sasaran mencapai satu angka kes baharu ditetapkan pada semalam (5 Mei), tetapi ia terpaksa dianjakkan seminggu lagi kepada 12 Mei.

"Sekarang ini, yang lebih penting adalah kita bersedia berdepan kemungkinan peningkatan kes kerana kadar penggunaan wad dan unit rawatan rapi (ICU) berkurangan.

"Begitu juga kadar penggunaan alat bantuan pernafasan, justeru kita tukar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Tetapi kejayaan PKPB ini tidak hanya terletak di bahu kerajaan dan KKM, sebaliknya mencakupi peranan serta tanggungjawab rakyat Malaysia," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
    Berita Harian X