Selasa, 5 Mei 2020 | 5:17pm

COVID-19: 50,000 kit ujian sudah diagih

PUTRAJAYA: Sebanyak 50,000 kit ujian pantas antigen atau 'rapid test kit' sudah diagihkan bagi menjalankan ujian untuk mengesan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 10,000 daripada jumlah itu diagihkan ke Sabah, Sarawak (10,000), Johor (15,000) dan bakinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan (klia2).

"Hari ini, kita sudah menerima sampel daripada kit ujian terbabit. Hasilnya akan diperoleh dalam esok atau hari berikutnya.

"Selain itu, petugas juga diberi latihan untuk menggunakan kit ujian terbabit," katanya pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 100,000 lagi kit ujian terbabit akan diterima dalam minggu ini.

Malaysia berupaya meningkatkan kapasiti ujian COVID-19 kepada 20,000 sehari dengan penggunaan kit ujian pantas antigen dari Korea Selatan.

Dr Noor Hisham yang sebelum ini pernah dipetik sebagai berkata, ketika ini Malaysia berjaya mencapai keupayaan 16,000 ujian saringan sehari.

Pembelian kit ujian secara cepat atau 'rapid test kit' yang diimport dari Korea Selatan dibawa masuk secara pukal dan berharga serendah RM50 setiap satu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.
    Berita Harian X