Isnin, 4 Mei 2020 | 5:30pm

Amalkan disiplin sosial ketika PKPB - Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu sentiasa mengamalkan disiplin sosial walaupun kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan biarpun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rakyat tetap perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"PKP fasa satu, dua dan tiga adalah bagi meratakan lengkung penularan COVID-19. PKPB membenarkan sektor perniagaan beroperasi tetapi perlu patuh kepada SOP yang ditetapkan.

"Jika tidak patuh, tindakan tegas boleh dikenakan. Sebab itu dengan kelonggaran yang diberikan, rakyat perlu mengamalkan disiplin sosial dan menjadi lebih bertanggungjawab dalam soal ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Menjawab sama ada penggunaan pelitup separuh muka diwajibkan ketika berada di pasar raya dan tempat awam susulan PKPB, Dr Noor Hisham berkata pemakaiannya amat digalakkan.

"Kita menggalakkan mereka pakai topeng (pelitup separuh) muka dan ia tidak wajib. Selain itu, amalan penjarakan sosial satu meter, perlu diamalkan.

"Jika kita mengamalkan semua amalan ini, kita boleh membendung penularan COVID-19," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X