Ahad, 3 Mei 2020 | 7:56pm
Kakitangan kafe PappaRich, Ratna (kanan) dan Mohamad Nor Azam mengukur jarak meja ketika membuat persiapan pembukaan premis mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) esok. - Foto Asyraf Hamzah
Kakitangan kafe PappaRich, Ratna (kanan) dan Mohamad Nor Azam mengukur jarak meja ketika membuat persiapan pembukaan premis mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) esok. - Foto Asyraf Hamzah

COVID-19: PKPB perlu diperketat jika rakyat gagal patuh SOP

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jika orang ramai gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pakar epidemiologi, Dr Mohd Rodi Isa, berkata kelonggaran yang diberikan menerusi PKPB dikhuatiri diambil kesempatan oleh rakyat untuk melanggar SOP digariskan kerajaan.

"Jika rakyat tidak patuh SOP, maka PKPB patut diperketatkan. Rakyat bertanggungjawab mematuhi SOP ditetapkan seperti dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dalam tempoh PKP ini, sebaiknya orang ramai patut duduk di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial serta menjaga kebersihan bagi membendung penularan COVID-19," katanya kepada BH, hari ini.

Kerajaan melaksanakan PKPB esok bagi membolehkan sektor tertentu beroperasi dan berniaga sebagai langkah memacu semula ekonomi negara selepas lebih 40 hari PKP dilaksanakan.

Negara dilaporkan mengalami kerugian RM2.4 bilion sehari susulan pelaksanaan PKP yang bermatlamat memutuskan rantaian COVID-19 dan mengawal wabak berkenaan merebak.

Pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut rakyat perlu terus mengamalkan kehidupan normal baharu seperti dilalui sepanjang PKP dengan kekal di rumah walaupun ada kelonggaran untuk melakukan urusan di luar.

"Kita bertanggungjawab memutuskan rantaian COVID-19. Teruskan dengan mematuhi SOP ditetapkan, jaga jarak sosial, cuci tangan. Tidak perlu makan di restoran, cukup dengan beli dan bawa pulang makan di rumah.

"Tinggal beberapa hari saja PKP tamat. Kita perlu fikir nasib petugas barisan hadapan. Sampai bila mereka harus terbeban dengan tanggungjawab berat itu," katanya.

Beliau berpendirian, rakyat perlu patuh arahan PKP sehingga 12 Mei ini dan hanya keluar jika ada keperluan penting seperti membeli barang keperluan atau mendapat rawatan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Doktor Perubatan Islam (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, kelonggaran yang diberikan dalam PKPB menuntut semua pihak berdisiplin mematuhi SOP yang digariskan dalam PKP.

Katanya, jika rakyat gagal mematuhi SOP ditetapkan, PKPB mungkin perlu ditarik balik atau penguatkuasaan lebih tegas perlu dikenakan kepada orang ramai atau kawasan tertentu.

Yang penting kata beliau, majikan yang termasuk dalam sektor dibenarkan kembali beroperasi, perlu tegas membuat kawalan saringan kesihatan terhadap semua pekerja yang dibenarkan bekerja.

"Majikan perlu tegas membuat penguatkuasaan seperti memeriksa suhu pekerja, memastikan pekerja memakai penutup mulut dan hidung serta melakukan sanitasi, itu mandatori.

"Walaupun matlamat PKPB adalah untuk merangsang kembali ekonomi, aspek mengawal penularan COVID-19 wajib diutamakan. Dalam hal ini, rakyat tetap perlu disiplin menjaga penjarakan sosial, mengutamakan aspek pencegahan," katanya.

Beliau berkata, majikan juga perlu merekodkan setiap butiran pekerja yang datang bekerja termasuk rekod kesihatan, penyakit dan sejarah perjalanan bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku kes jangkitan COVID-19.

Rakyat pula katanya, jangan terlalu ghairah keluar rumah dan mengambil kesempatan mengunjungi pusat beli belah, restoran serta tempat tumpuan atas alasan kononnya kerajaan memberi kelonggaran menerusi PKPB.

"Teruskan dengan duduk di rumah. Kita masih berdepan ancaman COVID-19. Ini tanggungjawab kita membantu kerajaan memutuskan rantaian wabak ini," katanya.

Berita Harian X