Ahad, 3 Mei 2020 | 7:00pm
SIDANG Kemuncak Secara Dalam Talian Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
SIDANG Kemuncak Secara Dalam Talian Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

PM sertai sidang kemuncak NAM secara dalam talian esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyertai Sidang Kemuncak Secara Dalam Talian Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Berhubung COVID-19 yang berlangsung menerusi persidangan video, esok (4 Mei).

Kementerian Luar menerusi satu kenyataan memaklumkan ini merupakan penyertaan pertama Muhyiddin dalam arena NAM sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

"Semasa sidang kemuncak ini, Perdana Menteri dijadualkan untuk menyampaikan kenyataan yang bakal mengetengahkan strategi Malaysia menangani kesan-kesan COVID-19 di peringkat nasional.

"Perdana Menteri juga dijangka menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli NAM bagi mengekang penularan virus COVID-19 dan menentang wabak itu," menurut kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu memaklumkan, persidangan bakal dipengerusikan Presiden Republik Azerbaijan, Ilham Aliyev merangkap Pengerusi NAM bagi penggal 2019-2022.

Ia turut disertai Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-74, Tijjani Muhammad-Bande; Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus; dan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Moussa Faki Mahamat.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres dijangka mengambil bahagian semasa sidang kemuncak berkenaan dan menyampaikan mesej secara rakaman awal, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut persidangan berkenaan dijangka menerima pakai satu deklarasi sebagai tanda kesepakatan NAM menggesa hubungan kerjasama lebih kukuh di peringkat antarabangsa bagi menentang wabak COVID-19.

"Deklarasi itu juga akan meluluskan penubuhan Pasukan Bertindak NAM bagi mengenal pasti keperluan sosial dan kemanusiaan negara-negara ahli NAM dalam memerangi COVID-19," katanya.

Selain itu, persidangan bertemakan 'Bersatu Menentang COVID-19' itu juga menekankan nilai multilaterisme dalam menangani cabaran dihadapi ahli NAM untuk menentang wabak berkenaan seiring dalam memperingati Hari Multilateralisme dan Diplomasi Untuk Perpaduan Antarabangsa yang disambut setiap 24 April. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X