Ahad, 3 Mei 2020 | 6:57pm
Angota polis dan tentera memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di ibu negara. - Foto BERNAMA
Angota polis dan tentera memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di ibu negara. - Foto BERNAMA

COVID-19: 'Kita penentu kadar kebolehjangkitan'

PUTRAJAYA: Peningkatan 'R naught' atau kadar kebolehjangkitan COVID-19 pada masa akan datang bergantung kepada tindakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menyifatkan kadar kebolehjangkitan yang ketika ini berada antara 0.6 hingga 0.8 adalah dalam keadaan terkawal, sekali gus mengurangkan risiko penularan COVID-19.

Katanya, kementerian mengunjurkan kadar itu berupaya terus menyusut sekiranya masyarakat bersama kerajaan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang penguatkuasaan PKPB.

"R naught ini akan naik dan turun, bergantung kepada sama ada kita terus laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau kepatuhan SOP tidak dilakukan sebaik mungkin.

"Kalau ramai yang masih keluar dari rumah, risiko jangkitan dan R naught ini boleh meningkat.

"Jadi kita kena lihat pada dua kaedah, sama ada melaksanakan PKP atau PKPB, dan sekiranya wujud jangkitan di satu-satu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X