Ahad, 3 Mei 2020 | 6:37pm

PKPB: Esok bukan 'raya' - Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA: Persepsi masyarakat ketika ini seolah-olah esok 'raya' kerana kononnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini sudah berakhir, adalah tanggapan salah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menegaskan PKP tidak pernah ditamatkan, sebaliknya pendekatan yang digunakan sekarang ialah memberi kelonggaran menerusi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, percaturan memberi kelonggaran menerusi PKPB itu selari kriteria Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekiranya mana-mana negara berhasrat menamatkan mekanisme kawalan penularan jangkitan COVID-19, iaitu PKP mengikut konteks Malaysia.

"Sekarang ini ramai meneliti isu sama ada untuk kekal dengan PKP atau PKPB, tetapi yang pasti ialah kita tidak tamatkan PKP tetapi persepsi adalah kita tamatkan PKP.

"Esok kita 'raya' contohnya kerana kita tiada PKP. Tidak, itu persepsi yang salah. PKP masih ada, kita hanya bagi kelonggaran mengguna pakai kriteria WHO untuk tamatkan PKP.

"Ada enam kriteria yang digariskan, termasuk memperketatkan kawalan sempadan dan pemantauan menggunakan kes seharian, kebolehjangkitan serta kes kumulatif untuk melihat perkembangan setiap hari.

"Kemudahan Kementerian Kesihatan (KKM) juga mempunyai kapasiti kerana penggunaan wad dan unit rawatan rapi (ICU) kurang daripada 20 peratus, selain kita tempah banyak ventilator untuk pesakit COVID-19," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, keutamaan kementerian ketika ini ialah untuk memastikan SOP ketika PKPB sentiasa dipatuhi, selepas Malaysia berjaya meratakan lengkuk penularan jangkitan COVID-19.

Beliau mengakui wujud segelintir masyarakat yang bimbang kerana kelonggaran mula diberikan, meskipun jumlah kes COVID-19 belum mencapai satu angka atau sifar.

"Kita mempunyai kemudahan kesihatan yang mencukupi, termasuk kapasiti wad dan unit rawatan rapi (ICU) sekiranya wujud peningkatan kes.

"Kit ujian pantas dari Korea Selatan juga sudah tiba di Malaysia dan ia mampu meningkatkan keupayaan saringan kita," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X