Ahad, 3 Mei 2020 | 6:12pm

COVID-19: KKM akan buat saringan di pusat jagaan warga emas

PUTRAJAYA: Ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja dan penghuni pusat jagaan warga emas akan dijalankan berikutan kumpulan itu berisiko tinggi mendapat jangkitan.

Saringan yang akan dijalankan secara berasa itu dimulakan terhadap 17 buah Rumah Sri Kenangan dan Rumah Ehsan bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata selepas itu, saringan berkenaan akan dilaksanakan di sebanyak 357 pusat jagaan yang berdaftar mengikut Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) dan 26 rumah jagaan kesihatan swasta (nursing homes) yang berdaftar mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maklum bahawa terdapat hampir atau lebih 1,000 pusat jagaan warga emas swasta yang tidak berdaftar mengikut mana-mana akta.

"Pihak Pejabat Kesihatan Daerah diarah untuk mengenalpasti pusat jagaan warga emas swasta termasuk institusi pondok agama di daerah masing-masing bagi memastikan liputan saringan COVID-19 adalah menyeluruh.

"Justeru, pengusaha pusat jagaan swasta digalakkan untuk berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah terdekat," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kepatuhan dan tanggungjawab sosial rakyat amat penting demi memastikan keselamatan dan kesihatan golongan warga emas berikutan virus itu tidak kelihatan di mata kasar.

Beliau berkata, ahli keluarga, terutama anak atau penjaga yang tinggal bersama warga emas bertanggungjawab memastikan golongan warga emas terjaga dan dilindungi daripada penularan jangkitan COVID-19.

Katanya, ahli keluarga warga emas digalakkan untuk kekal mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 kerana mereka adalah berpotensi menyebarkan jangkitan wabak itu kepada ibu bapa atau datuk nenek masing-masing.

"Pastikan juga mereka dibawa untuk mendapat rawatan segera jika didapati tidak sihat, pastikan bekalan ubatan mencukupi dan patuhi temujanji rawatan.

"Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula pada 4 Mei, KKM menasihatkan warga emas terus mematuhi PKP dan mengelak keluar dari rumah, kecuali untuk urusan-urusan yang penting sahaja.

"Elakkan 3C, iaitu kawasan yang sesak (Crowded place), kawasan yang sempit (Confined space) dan bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation)," katanya.

Beliau berkata, warga emas juga digalakkan untuk memakai topeng muka selain mengambil langkah pencegahan, jika mereka perlu ke kawasan sering dikunjungi orang ramai.

Katanya, mereka juga perlu meneruskan amalan penjagaan kebersihan diri yang tinggi serta mengamalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangya satu meter.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, warga emas serta orang ramai boleh menghubungi Virtual Health Advisory melalui portal KKM dari 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari, untuk mendapatkan nasihat.

"Warga emas yang perlu mendapat rawatan penyakit kronik di klinik kesihatan, mereka dinasihatkan supaya datang untuk rawatan susulan mengikut tarikh dan masa temujanji yang ditetapkan.

"Bagi mengurangkan kekerapan kedatangan dan kesesakan di klinik untuk mengambil bekalan ubat separa, KKM menyediakan perkhidmatan farmasi Value Added Service seperti Ubat Melalui Pos (UMP), Locker2U, Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB) dan Farmasi Pandu Lalu mengikut kesesuaian perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X