Ahad, 3 Mei 2020 | 4:36pm

PKPB: Perjalanan waktu puncak tren, bas dilanjut

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan melanjutkan waktu puncak bagi semua perkhidmatan rel dan bas di bawah kumpulan itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana, Muhammad Nizam Alias, berkata perjalanan waktu puncak akan dipanjangkan dari jam 7 pagi hingga 11 pagi, dan jam 4 petang hingga 7 malam bagi semua perkhidmatan.

Katanya, kekerapan tren yang lebih tinggi juga dilakukan bersama lanjutan waktu puncak itu bagi memastikan penumpang tidak perlu bersesak susulan jumlah penumpang perlu dihadkan sepanjang PKPB.

"Kekerapan waktu puncak pagi dan petang untuk LRT Laluan Kelana Jaya adalah tiga minit, manakala LRT Laluan Ampang/Sri Petaling adalah enam minit.

"Kekerapan perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang pada waktu puncak pula adalah empat minit, manakala perkhidmatan monorel pula beroperasi dengan kekerapan enam minit," katanya kepada BH, hari ini.

Muhammad Nizam berkata, selain lanjutan waktu puncak, kapasiti penumpang bas akan dihadkan kepada 50 peratus, penumpang LRT, MRT dan monorel pula dihadkan kepada 30 peratus bagi setiap perjalanan.

Jelasnya, langkah itu bagi membolehkan penumpang kekal mematuhi penjarakan sosial, berikutan jumlah pengguna dijangka bertambah susulan keputusan kerajaan membenarkan hampir semua sektor ekonomi kembali beroperasi bermula esok.

"Semua perkhidmatan rel, bas serta perkhidmatan Rapid Ferry juga akan mula beroperasi mengikut waktu biasa dari jam 6 pagi hingga tengah malam mulai esok," katanya.

Muhammad Nizam memaklumkan, kerja membasmi kuman akan dilakukan di stesen dan hab serta dalam tren, bas dan feri, manakala cecair pembasmi kuman akan ditempatkan di semua stesen LRT, MRT, monorel dan BRT, hab bas dan pangkalan feri.

"Staf yang bertugas khususnya kapten bas, anggota Polis Bantuan dan staf stesen akan turut diperiksa suhu badan sebelum dibenar memulakan kerja masing-masing," katanya.

Muhammad Nizam berkata, penumpang akan diminta beratur sebelum menaiki bas atau tren, dan staf tambahan diletakkan untuk mengawal penumpang di pintu masuk stesen dan di platform bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

"Tentunya ini adalah sesuatu yang amat mencabar. Kami memohon semua penumpang bersedia dengan normal baharu ini dan memberikan kerjasama rapat dengan staf kami dalam menjalankan tugas mereka," katanya.

Terdahulu, tinjauan BH mendapati notis mengenai penjarakan sosial ditampal di kaunter stesen dan di dalam LRT, mengingatkan penumpang untuk menjaga jarak dan tidak duduk secara sebelah menyebelah.

Pelekat 'X' pula ditampal di atas kerusi di dalam bas Rapid KL, menandakan penumpang tidak boleh duduk di kerusi tertentu bagi memastikan jarak sosial dipatuhi.

Beberapa pelekat juga turut dipasang di lantai bas bagi menunjukkan penumpang hanya dibenarkan berdiri di ruang tertentu, selain notis menyatakan kapasiti bas dihadkan kepada jumlah tertentu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X