Ahad, 3 Mei 2020 | 4:00pm
Kakitangan restoran mengukur jarak meja ketika membuat persiapan pembukaan premis esok yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - NSTP/Asyraf Hamzah
Kakitangan restoran mengukur jarak meja ketika membuat persiapan pembukaan premis esok yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - NSTP/Asyraf Hamzah

COVID-19: Orang ramai usah terburu-buru keluar esok

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya tidak 'meraikan' Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan keluar ke tempat awam beramai-ramai, esok.

Sebaliknya, mereka dinasihatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), khasnya duduk di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial serta menjaga kebersihan.

Pakar epidemiologi, Dr Mohd Rodi Isa, berkata berdasarkan perkembangan kes jangkitan COVID-19 yang dilaporkan ketika ini, rakyat perlu terus berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak dijangkiti wabak itu.

Pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berpendirian rakyat perlu patuh arahan PKP sehingga 12 Mei ini dan hanya keluar jika ada keperluan penting seperti membeli barang keperluan atau mendapat rawatan.

"Saya berpendapat, rakyat perlu terus amalkan kehidupan seperti dilalui sepanjang PKP, jangan sibuk nak keluar tidak tentu hala walaupun ada kelonggaran.

"Kita bertanggungjawab memutuskan rantaian COVID-19. Teruskan dengan mematuhi SOP ditetapkan, jaga jarak sosial, cuci tangan. Tidak perlu makan di restoran, cukup dengan beli dan bawa pulang makan di rumah.

"Tinggal beberapa hari saja PKP tamat. Kita perlu fikir nasib petugas barisan hadapan. Sampai bila mereka harus terbeban dengan tanggungjawab berat itu," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Kerajaan melaksanakan PKPB esok bagi membolehkan sektor tertentu beroperasi dan berniaga sebagai langkah memacu semula ekonomi negara selepas lebih 40 hari PKP dilaksanakan.

Negara dilaporkan mengalami kerugian RM2.4 bilion sehari susulan pelaksanaan PKP yang bermatlamat memutuskan rantaian COVID-19 dan mengawal wabak berkenaan merebak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Doktor Perubatan Islam (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, kelonggaran yang diberikan dalam PKPB menuntut semua pihak berdisiplin mematuhi SOP yang digariskan dalam PKP.

Katanya, majikan khususnya yang termasuk dalam sektor dibenarkan kembali beroperasi, perlu tegas membuat kawalan saringan kesihatan terhadap semua pekerja yang dibenarkan bekerja.

"Majikan perlu tegas membuat penguatkuasaan seperti memeriksa suhu pekerja, memastikan pekerja memakai pelitup muka serta melakukan sanitasi, itu mandatori.

"Walaupun matlamat PKPB adalah untuk merangsang kembali ekonomi, aspek mengawal penularan COVID-19 wajib diutamakan. Dalam hal ini, rakyat tetap perlu disiplin menjaga penjarakan sosial, mengutamakan aspek pencegahan," katanya.

Beliau berkata, majikan juga perlu merekodkan setiap butiran pekerja yang datang bekerja termasuk rekod kesihatan, penyakit dan sejarah perjalanan bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku kes jangkitan COVID-19.

Rakyat pula katanya jangan terlalu ghairah untuk keluar rumah dan mengambil kesempatan mengunjungi pusat beli belah, restoran serta tempat tumpuan awam atas alasan kononnya kerajaan memberi kelonggaran menerusi PKPB.

"Teruskan dengan duduk di rumah. Kita masih berdepan ancaman COVID-19. Ini tanggungjawab kita membantu kerajaan memutuskan rantaian wabak ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X