Sabtu, 2 Mei 2020 | 5:25pm

Isu pekerja asing Pasar Borong KL diatasi selepas PKP

KUALA LUMPUR: Operasi Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, akan ditambah baik selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, memaklumkan antara perkara yang sedang diteliti adalah membabitkan status kebersihan pasar borong itu, selain isu kebanjiran pekerja warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah.

"Memang selepas pelaksanaan PKP, banyak kerja susulan yang perlu dilakukan, antara yang sedang saya fikirkan sekarang adalah mengenai isu Pasar Borong Kuala Lumpur.

"Pasar borong ini dikaitkan dengan pelbagai isu seperti kotor, kebanjiran pekerja tak berdaftar dan sebagainya.

"Saya akan usahakan untuk mencari jalan keluar daripada isu ini kerana kita tak boleh menjadi negara kelas pertama, tapi memiliki pasar borong kelas ketiga," katanya ketika bersiaran secara langsung menerusi Facebook, hari ini.

Operasi Pasar Borong Kuala Lumpur dilaporkan teruk terjejas selepas kebanyakan pekerja di situ yang majoritinya warga asing, tinggal di dalam kawasan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

BH sebelum ini melaporkan persatuan pemborong sayur dan ikan di situ kini memerlukan hampir 3,000 pekerja untuk melakukan kerja pemunggahan daripada lori, menyusun barangan serta menghantar hasil jualan kepada pelanggan.

Pelaksanaan PKPD di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur itu membabitkan kira-kira 22,000 penduduk, dengan 16,000 daripadanya adalah warga asing, yang majoritinya adalah etnik Rohingya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Pasar Borong Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah
    Pasar Borong Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah
    Berita Harian X