Sabtu, 2 Mei 2020 | 3:21pm
Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - BERNAMA

Tiada maaf bagi premis langgar SOP PKPB

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menutup premis yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP semasa pelaksanaan PKPB itu lebih ketat dan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan peniaga yang melanggar syarat ditetapkan.

"Saya ingin katakan (semasa pelaksanaan PKPB) SOP yang dikenakan sangat ketat. Jika ada sahaja premis yang melanggar SOP kita akan menutup premis mereka.

"Kita tidak akan biarkan mereka berniaga lagi kerana melanggar SOP. Jika mereka langgar (SOP), kita tutup. Tiada kompromi dan tiada tolak ansur kepada mereka yang melanggar peraturan.

"PKP masih berkuatkuasa dan semua pematuhan di dalam perintah terbabit mesti dipatuhi oleh seluruh rakyat. Seperti dikatakan kita tidak menarik PKP cuma memberi kelonggaran sedikit,"katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini, bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal COVID-19 dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menasihatkan orang ramai bahawa keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga adalah tanggungjawab individu dan ia tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

"Walaupun ada kebebasan, tidak bermakna masyarakat boleh sewenangnya keluar walaupun tiada keperluan berbuat demikian. Tanggungjawab menjaga kesihatan keluarga adalah diri sendiri. Bukan semuanya letak pada kerajaan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X