Sabtu, 2 Mei 2020 | 2:45pm
Sekatan Jalan Raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Simpang Renggam antara langkah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam. - Foto hiasan
Sekatan Jalan Raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Simpang Renggam antara langkah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam. - Foto hiasan

PKP tetap berkuat kuasa hingga 12 Mei

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa dan individu yang melanggar peraturan akan tetap dikenakan tindakan walaupun PKP Bersyarat (PKPB) akan bermula Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata polis masih mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar PKP mengikut Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Pelaksanaan PKP tidak ditarik balik walaupun kerajaan mengumumkan mengenai PKPB. Ia (PKPB) cuma dilonggarkan kepada sektor tertentu untuk beroperasi dan tindakan tetap dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai PKP, di sini.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei.

PKPB membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi semula tetapi secara berhati-hati dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Jelas Ismail Sabri, kerajaan cakna akan kehidupan rakyat di akar umbi dan memberi peluang kepada mereka terutama pemilik warung dan gerai untuk menjana pendapatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan menutup mana-mana premis yang didapati melanggar SOP ditetapkan.

"Kita beri peluang kepada mereka untuk cari pendapatan walaupun sedikit. Sekurang-kurangnya boleh berniaga di depan rumah. Ini tidak bermakna PKP ditarik balik, ia hanya dilonggarkan.

"(Namun) Kita tidak membiarkan mereka berniaga lagi kerana melanggar SOP dikeluarkan. Tidak ada kompromi dan tolak ansur. Jika mereka langgar, kita (arahkan) tutup," katanya.

Mengakui perang COVID-19 masih belum selesai, Ismail Sabri menasihati orang ramai agar terus berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri ketika PKPB.

Katanya, normal baharu perlu menjadi budaya serta tanggungjawab individu, bukan hanya terletak di tangan kerajaan semata-mata.

"Inilah normal baharu, walaupun PKP ditamatkan, penjarakan sosial dan mencuci tangan dengan sabun adalah disiplin untuk menjaga kesihatan dan keselamatan kita," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X