X
Khamis, 30 April 2020 | 7:11pm
Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI). - Foto fail
Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI). - Foto fail

Malaysia tak iktiraf status pelarian Rohingya

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Ini disebabkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kerajaan bagaimanapun membenarkan mereka untuk tinggal sementara di negara ini, atas dasar kemanusiaan sebelum ditempatkan di negara ketiga oleh UNHCR.

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum kegusaran orang awam yang timbul berhubung pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya.

"Sehingga Mac lalu, terdapat seramai 179,521 pemegang kad UNHCR yang tinggal secara sementara di Malaysia. Daripada jumlah itu, 56.6 peratus atau 101,584 orang daripada etnik Rohingya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak pernah mendaftarkan ada mana-mana pertubuhan atas nama Rohingya di Malaysia.

Justeru, beliau menegaskan mana-mana pertubuhan yang mewakili etnik Rohingya di Malaysia adalah tidak sah mengikut Akta Pertubuhan 1966.

"Oleh yang demikian, pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya tidak mempunyai sebarang status, hak dan asas untuk mengemuka sebarang tuntutan kepada kerajaan.

"Sebarang tindakan pemegang kad UNHCR yang mengganggu-gugat ketenteraman awam dan bertentangan dengan undang-undang negara, tidak akan terlepas daripada tindakan," katanya.

Mengenai tindakan pihak berkuasa Malaysia tidak membenarkan bot membawa etnik Rohingya memasuki kawasan perairan negara, Hamzah menegaskan langkah itu berlandaskan undang-undang bagi menjaga kedaulatan sempadan negara daripada diceroboh.

Bagaimanapun, beliau berkata, atas dasar kemanusiaan, pihak berkuasa negara mengagihkan bekalan makanan sebelum mengiringi bot terbabit keluar daripada perairan negara.

"Tindakan memperketatkan sempadan termasuk lorong-lorong tikus bagi menghalang pencerobohan PATI, selari dengan langkah kerajaan menutup pintu masuk negara kepada warga asing bagi memutuskan rantaian COVID-19.

"Pada masa sama, PATI yang memegang kad UNHCR di Malaysia diingatkan supaya terus menghormati dan mematuhi undang-undang di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah berkata, polis menerima 19 laporan terhadap pemegang kad UNHCR etnik Rohingya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan empat kertas siasatan sudah dibuka.

Selain itu, dua tekong warga Myanmar akan dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan terbabit dengan sindiket penyeludupan PATI yang memegang kad UNHCR ke negara ini.

Berita Harian X