Selasa, 28 April 2020 | 11:58am
Antara pelajar IPTA yang menaiki bas universiti untuk pulang ke kawasan tempat tinggal mereka. - NSTP/FOTO IHSAN KPT
Antara pelajar IPTA yang menaiki bas universiti untuk pulang ke kawasan tempat tinggal mereka. - NSTP/FOTO IHSAN KPT

Sebahagian pelajar IPTA telah selamat pulang - KPT

KUALA LUMPUR: Sebahagian pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah tiba di kawasan tempat tinggal mereka, pagi ini, dengan menaiki bas universiti masing-masing.

Menurut maklumat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), mereka termasuk kira-kira 36 pelajar Zon Tengah Satu yang menaiki bas Universiti Malaya (UM) dan tiba di Politeknik Balik Pulau (PBU), Pulau Pinang, seawal jam 4.40 pagi tadi.

Industri bas persiaran, bas sekolah dan bas pekerja yang terkesan teruk akibat COVID-19. Gambar kecil ialah R Thiagarajan. Foto NSTP/Omar Ahmad
Industri bas persiaran, bas sekolah dan bas pekerja yang terkesan teruk akibat COVID-19. Gambar kecil ialah R Thiagarajan. Foto NSTP/Omar Ahmad

Ia disusuli ketibaan pelajar yang menggunakan perkhidmatan bas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kira-kira jam 6 pagi.

"Pelajar juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiba di PBU.

"Jutaan terima kasih kepada pihak yang membantu menguruskan prosedur ketibaan pelajar di PBU.

"PBU juga bakal menerima ketibaan pelajar dari zon lain mengikut jadual ditetapkan pihak kementerian," katanya.

Sharifah Nahidhah dijemput ayahnya, Syed Ibrahim Syed Salim, di IPD Kuala Muda untuk pulang ke Sungai Petani, Kedah. - NSTP/FOTO IHSAN USIM
Sharifah Nahidhah dijemput ayahnya, Syed Ibrahim Syed Salim, di IPD Kuala Muda untuk pulang ke Sungai Petani, Kedah. - NSTP/FOTO IHSAN USIM

Sementara itu, 11 pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Kampus Pandan Indah, juga selamat tiba di kampung masing-masing di Kedah dan Pulau Pinang, pagi tadi.

Menurut USIM dalam satu kenyataan, kumpulan pertama pelajar universiti itu adalah sebahagian daripada 790 warga IPT sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang menyertai proses penghantaran sulung ke tiga negeri di utara, malam tadi.

Seorang daripada mereka, Nurul Ilham Huda Redzuan, 19, selamat tiba di rumah di Bandar Perdana Seksyen 8, Sungai Petani, Kedah, selepas dijemput oleh ayahnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kedah kira-kira jam 5.20 pagi tadi.

Beliau yang sedang mengikuti pengajian tahun pertama bidang perubatan dan surgeri berkata, sebelum bertolak dari kampus, setiap pelajar melalui saringan ketat oleh petugas kesihatan serta polis di mana mereka mesti dalam keadaan sihat, manakala segala dokumen perjalanan wajib dibawa bersama dan lengkap diisi.

"Kami diberikan taklimat keselamatan terakhir oleh polis sebelum dibenarkan menaiki bas dan bertolak pada jam 11.30 malam tadi.

"Perasaan amat gembira apabila melihat ayah sedia menunggu di IPD untuk membawa saya pulang.

"Terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang bertungkus-lumus menguruskan perjalanan kami pulang dengan selamat kerana kami sedar ia buka sesuatu yang mudah," katanya.

Pelajar tahun empat bidang perubatan USIM, Sharifah Nahidhah Syed Ibrahim, 22, pula bersyukur kerana doa mereka supaya dapat pulang ke kampung setelah hampir dua bulan terkandas di universiti, dimakbulkan Allah SWT.

"Ibu bapa pasti amat gembira kerana saya satu-satunya anak mereka yang tidak dapat pulang apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Kini, saya sudah berada di depan mata mereka.

"Bagaimanapun, terasa sedih juga mengenangkan masih ramai kawan sepengajian terkandas di kolej kediaman dan berharap mereka juga dapat pulang sedikit masa lagi," katanya.

Berkongsi prosedur sebelum menaiki bas, Sharifah Nahidhah berkata, pelajar perlu melengkapkan borang pengisytiharan kesihatan yang disahkan oleh pegawai perubatan, memuat turun aplikasi MySejahtera dalam telefon bimbit dan memiliki surat kebenaran pergerakan pulang dari universiti.

Menurut kenyataan itu lagi, penghantaran pulang kumpulan kedua pelajar USIM dijangkakan pada Khamis ini, membabitkan pergerakan dari Kampus Nilai ke beberapa destinasi di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X