Ahad, 26 April 2020 | 12:55pm
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto BERNAMA
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto BERNAMA

Tutup operasi jika cemar alam sekitar - Tuan Ibrahim

PUTRAJAYA: Pihak industri yang dibenarkan beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdepan tindakan tegas termasuk dihentikan operasi sekiranya didapati mencemarkan alam sekitar.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tindakan diambil mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan semua peraturan di bawahnya.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap industri atau sektor yang mencemarkan alam sekitar dan pihak yang didapati tidak mematuhi AKAS juga akan dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk tindakan lanjut termasuk penutupan operasi.

"Sejak pelaksanaan PKP hingga 24 April lalu, JAS sudah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 158 premis dan individu yang melanggar AKAS termasuk penahanan dan penggantungan lesen lima premis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai Arahan Kerja Kawalan Pencemaran ketika PKP.

Beliau berkata, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan merangkumi tiga gerak kerja khusus, merangkumi aspek pencegahan, siasatan ke atas aduan dan amaran dari sistem Program Pengawasan Kualiti Alam Sekeliling (EQMP) serta mengadakan rondaan atau pemeriksaan mengejut terutamanya di premis di kawasan yang berisiko pencemaran.

"Selain itu rondaan turut diadakan di premis yang terletak di hulu takat pengambilan air serta kawasan yang mudah terbakar seperti kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

"Malah, pemantauan menggunakan teknologi termasuk dron dilakukan untuk memantau dan mengesan pencemaran alam sekitar di kawasan berkaitan," katanya.

Tuan Ibrahim berkata sebanyak 1,337 premis pembuatan atau pengilangan dibenarkan beroperasi oleh MITI di seluruh negara ketika ini.

"Daripada jumlah berkenaan sebanyak 13 peratus daripada jumlah yang dinyatakan itu terletak di hulu takat pengambilan air.

"Tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 25 AKAS dan sabit kesalahan boleh didenda tidak maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pihak industri dilarang sama sekali untuk melakukan pelupusan buangan terjadual secara haram. Sekiranya didapati bersalah JAS boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 34B AKAS dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara mandatori serta denda maksimum sebanyak RM500,000" katanya.

Aduan pencemaran boleh dikemukakan kepada Bilik Kawalan Operasi JAS di talian 03-88891972 atau talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi setiap hari selama 24 jam.

Aduan juga boleh disalurkan secara dalam talian melalui sistem e-aduan yang boleh diakses melalui capaian https://eaduan.doe.gov.my dan juga boleh disalurkan melalui emel kepada aduan_k@doe.gov.my

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X