Ahad, 26 April 2020 | 10:54am
Derma darah untuk menampung keperluan tabung darah negara. - Foto BERNAMA
Derma darah untuk menampung keperluan tabung darah negara. - Foto BERNAMA

Tawar khidmat ambil, hantar penderma darah secara percuma

KUALA LUMPUR: Sejak 11 tahun lalu, menjadi rutin bagi Mohamad Azuan Abdullah, 40, menderma darah setiap tiga bulan sekali untuk menampung keperluan tabung darah negara bagi membantu pesakit yang memerlukan.

Malah usaha murni pemandu teksi ini tidak terhenti di situ, apabila beliau turut melaksanakan khidmat masyarakat dengan mengambil dan menghantar penderma darah sekitar ibu negara secara percuma sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengakui pendapatannya terjejas selepas pelaksanaan PKP, ia bukan halangan untuk beliau meneruskan niatnya menawarkan perkhidmatan itu demi memastikan tabung darah negara sentiasa menerima bekalan darah daripada penderma.

"Inisiatif itu diambil untuk membantu mana-mana penderma sekitar Kuala Lumpur untuk sama-sama menderma ketika PKP, mungkin mereka ada batasan untuk keluar dan saya sebagai pemandu teksi apa salahnya membantu mengambil dan hantar mereka pulang.

"Sesiapa sahaja sama ada yang pernah menderma atau yang baru hendak menderma saya boleh bantu mereka dengan khidmat saya," katanya kepada Bernama.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, setakat ini beliau telah mengambil dan menghantar lapan orang yang ingin menderma darah ke Pusat Darah Negara (PDN).

"Ada daripada mereka kawan saya, ada yang saya tidak kenal, mereka hanya mesej saya di Facebook dan tetapkan masa untuk pergi menderma," kata beliau yang mempromosikan perkhidmatan itu melalui media sosialnya.

Usaha Mohamad Azuan turut menerima pujian ramai apabila PDN melalui Facebook rasminya memberi penghargaan dan berkongsi mengenai perkhidmatan yang ditawarkan anak jati Sungai Siput, Perak ini.

"Saya kerap buat posting mengenai derma darah di Facebook dan daripada situ saya harap orang ramai akan ada kesedaran untuk menderma," katanya.

Mengimbau detik pertama kali menderma darah pada 2009, Mohamad Azuan berkata ia bermula apabila beliau terbaca satu catatan di Facebook mengenai seorang kanak-kanak yang memerlukan bantuan darah jenis A.

Susulan itu, beliau terus nekad untuk menderma di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan meneruskan aktiviti berkenaan sehingga kini.

"Mula-mula ingat sakit, tapi tak pula dan saya rasa seronok lepas mula menderma, jadi saya sambung sampai sekarang setiap tiga bulan sekali," katanya yang juga penderma aferesis.

Sementara itu, Pengarah PDN Dr Noryati Abu Amin ketika dihubungi berkata pihaknya berterima kasih dan menghargai usaha Mohamad Azuan dan ia inisiatif perseorangan yang dilakukan beliau untuk membantu penderma yang lain.

Beliau berkata, selain menjadi penderma darah, PDN juga menggalakkan masyarakat untuk membantu dalam aktiviti penganjuran kempen pendermaan darah dalam usaha memastikan bekalan darah yang selamat adalah mencukupi untuk kegunaan pesakit di seluruh negara pada setiap masa. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X