Sabtu, 25 April 2020 | 3:27pm
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

COVID-19: 'Terima kasih, Singapura'

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Singapura atas bantuan membawa pulang 91 rakyat Malaysia yang terkandas di Riyadh, Arab Saudi.

Ini berikutan ketiadaan penerbangan akibat COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

"Terima kasih kerajaan Singapura atas budi baik menumpangkan rakyat Malaysia dari Riyadh ke Singapura menggunakan pesawat bantuan kemanusiaan Saudia Airlines yang dihantar untuk bawa pulang rakyat Singapura yang turut terkandas di Arab Saudi," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran dalam akaun Facebook rasminya, hari ini.

Hishammuddin berkata, kumpulan rakyat Malaysia itu selamat tiba di tanah air dari Singapura dengan menaiki pesawat Malindo Air, semalam.

"Kita sedia maklum, ada lagi rakyat Malaysia terkandas di Arab Saudi termasuk kumpulan jururawat di Riyadh dan pelajar di Madinah. Saya harap semua kekal bertenang. Kita akan usahakan yang terbaik untuk bantu. Insya-Allah," tambahnya.

Semalam, lebih 400 rakyat Malaysia dilaporkan selamat tiba di Malaysia dari beberapa negara Asia Barat melalui proses membawa pulang yang dikendalikan Kementerian Luar, selepas terkandas. – BERNAMA

Berita Harian X