X
Jumaat, 24 April 2020 | 5:15pm
Tinjauan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan hari ini. - Foto Saadiah Ismail.
Tinjauan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan hari ini. - Foto Saadiah Ismail.
Tinjauan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan hari ini. - Foto Saadiah Ismail.
Tinjauan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan hari ini. - Foto Saadiah Ismail.

Pasar Borong Selangor jadi tumpuan

SERI KEMBANGAN: Orang ramai mula mengunjungi Pasar Borong Selangor, di sini, seawal jam 6 pagi pada hari pertama Ramadan, sambil mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 12 Mei ini.

Pengunjung dilihat mengambil peluang membeli segala kelengkapan memasak dan barangan keperluan harian seawal mungkin bagi memastikan masa selebihnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk berada di rumah.

Tinjauan BH di pasar basah itu mendapati, pemeriksaan suhu serta kawalan pergerakan oleh pihak berkuasa di pintu masuk turut diadakan bagi memastikan hanya seorang pengunjung yang datang selain tidak dibenarkan kenderaan yang mempunyai lebih satu penumpang masuk ke pasar itu.

Malah tindakan pihak pengurusan pasar menutup beberapa laluan pejalan kaki dan hanya menggunakan satu laluan utama dengan penjarakan sosial lebih satu meter dilakukan juga untuk memastikan kawalan masuk pengunjung ke pasar dihadkan.

Namun, kelonggaran diberikan kepada pengunjung warga emas dan wanita mengandung.

Selain itu, setiap pengunjung juga akan diberi nombor supaya pengunjung tidak berhimpit-himpit ketika membeli keperluan.

Peniaga ikan, Ain Alias, 36, berkata pasar basah itu mula menerima kedatangan pengunjung yang ramai seawal jam 6 pagi untuk membeli bahan basah bagi menyambut Ramadan.

Katanya, walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana pasar itu ditutup pada jam 3.30 petang, masih ada pengunjung yang melakukan pembelian terakhir.

"Hari ini dan semalam rasa sangat letih, sebab terlalu ramai pelanggan tanpa henti-henti membeli ikan dan barang basah lain. Alhamdulillah, keadaan tidaklah terlalu sesak dan semua orang dilihat mengambil langkah penjarakan sosial.

"Alhamdulillah hari ini jualan memberangsangkan dan saya juga mendapat permintaan yang banyak untuk melakukan penghantaran ke rumah," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Bagi peniaga, Saroja Ramasamy, 63, beliau berkata, kedatangan pengunjung terutama orang Islam pada hari sebelum Ramadan begitu ramai kerana beranggapan mereka bersedia untuk membeli keperluan juadah memasak pada hari pertama Ramadan.

"Pengunjung sangat mematuhi arahan dan keadaan begitu terkawal. Semua pengunjung juga memakai topeng muka dan sarung tangan," katanya yang sudah berniaga lebih 16 tahun di pasar berkenaan.

Sementara itu, pasar yang menjual barangan kering juga dilihat melaksanakan amalan penjarakan sosial serta menggunakan topeng muka.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X