Jumaat, 24 April 2020 | 11:59am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: UM bangunkan CoSMoS bantu pantau PUI

KUALA LUMPUR: Sistem penjagaan kesihatan kini berdepan tekanan kerja yang sangat tinggi dalam usaha merungkai penularan jangkitan COVID-19 dan menyediakan perkhidmatan kepada pesakit.

Menyedari hakikat itu, Universiti Malaya (UM) merintis usaha membangunkan Sistem Pemantauan Gejala COVID-19 (CoSMoS) bagi membantu kakitangan perubatan memantau pesakit yang disyaki dijangkiti wabak terbabit.

Perisian aplikasi berkenaan mula digunakan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi merekodkan perkembangan individu yang disyaki (PUI) COVID-19 ketika menjalani kuarantin sendiri di rumah masing-masing.

Pengerusi Gerak Kerja COVID-19 PPUM, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata sebilangan besar petugas perubatan memantau pesakit dengan membuat panggilan rutin kepada mereka atau melakukan lawatan ke rumah.

Pengerusi Gerak Kerja COVID-19 PPUM, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.
Pengerusi Gerak Kerja COVID-19 PPUM, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Menerusi CoSMoS, katanya, proses pemantauan akan diautomasikan dan pesakit boleh memasukkan gejala harian mereka ke aplikasi terbabit, sebelum ia dihantar ke sistem utama di PPUM untuk diteliti doktor secara masa sebenar melalui papan pemuka.

"Dengan CoSMoS, kakitangan perubatan perlu membuat panggilan hanya kepada 10 peratus pesakit yang memerlukan pengawasan, manakala pesakit selebihnya boleh dipantau secara sendiri melalui CoSMoS.

"Ini akan membolehkan 80 hingga 90 peratus kapasiti kakitangan perubatan menjalankan kerja lain seperti pengesanan kontak dan ujian saringan.

"CoSMoS akan mengubah cara kami menguruskan pesakit PUI COVID-19 yang sedang dipantau di rumah.

"Buat masa ini, sistem penjagaan kesihatan berada di bawah tekanan yang sangat tinggi.

"Seorang pegawai perubatan akan menggunakan antara 10 hingga 15 minit setiap hari untuk menelefon pesakit dan memantau pesakit selama 14 hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Adeeba berkata, PPUM kini mempunyai lebih 1000 pesakit dan kakitangan perubatan yang terdedah kepada COVID-19 serta memerlukan pemantauan susulan setiap hari.

Keadaan itu, katanya, menyaksikan peruntukan waktu kerja melonjak kepada sekurang-kurangnya 3,500 jam dalam tempoh dua minggu pesakit dikuarantin.

Sehubungan itu, beliau berkata, CoSMoS bakal meringankan bebanan tugas kakitangan perubatan apabila tidak perlu lagi membuat panggilan telefon secara manual kepada pesakit bagi tujuan pemantauan.

"CoSMoS mengguna pakai teknologi sedia ada bagi memastikan ia mampu diakses sebahagian besar masyarakat. Pesakit akan menggunakan Telegram Bot untuk melaporkan gejala mereka secara interaktif.

"Dengan ini, ia menjimatkan kos dan masa kakitangan perubatan untuk membuat panggilan kepada pesakit, malah 'bot' ini akan mengingatkan pesakit setiap pagi untuk melaporkan gejala serta menasihatkan pesakit berdasarkan laporan yang dihantar.

"CoSMoS juga menyediakan back-end dashboard (pusat kawalan) yang akan membantu kakitangan perubatan untuk menguruskan pesakit.

"Pada masa kini, CoSMoS masih dalam proses ujian perintis di PPUM dan mendapat kelulusan etika daripada Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan PPUM. Semua pesakit yang menggunakan CoSMoS memberikan kebenaran untuk data mereka digunakan bagi tujuan penyelidikan serta pemantauan klinikal," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X