Khamis, 23 April 2020 | 5:07pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. - Foto Saifullizan Tamadi
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. - Foto Saifullizan Tamadi

COVID-19: KKM terus terima sumbangan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan hari ini menerima sumbangan wang tunai RM1 juta serta peralatan kesihatan daripada pelbagai pihak untuk dimanfaatkan petugas barisan hadapan kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Sumbangan yang diterima merangkumi makanan, kelengkapan perlindungan peribadi (PPE), beg sampah klinikal serta cecair pembasmi kuman.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerima sumbangan itu daripada 14 penyumbang yang mewakili syarikat, persatuan dan kedutaan.

Bantuan wang tunai disumbangkan Yayasan Sin Hock Min sebanyak RM500,000, Mcdonald's Malaysia (RM250,000) dan Ranhill Worley Sdn Bhd (RM250,000)

Dalam satu majlis yang diadakan di kementerian berkenaan, Kedutaan Palestin yang diwakili Duta Besarnya, Walid Abu Ali menyumbang kurma sebanyak 500 kilogram kepada barisan hadapan kesihatan.

Selain itu, PPE turut disumbangkan Majlis Kanser Negara (MAKNA), Malaysia Airport Berhad dan Persatuan Kebajikan Kasih Sayang (Ai Xin) Malaysia.

Bagi Toyota Boshoku UMW Sdn Bhd, syarikat berkenaan menyumbang 3,000 pasang penutup but, 7,000 unit masing-masing penutup kepala dan gaun pengasingan dengan nilai keseluruhan RM270,00.

Persatuan Pengakap Malaysia pula yang diwakili Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Mohd Zin Bidin menyumbang 103,492 keping pelindung muka bernilai RM258,730.

Sumbangan turut diterima daripada Scientex Berhad, Fibertex Personal Care Sdn Bhd dan Hing Yiap Knitting Sdn Bhd membabitkan 100,000 unit pelindung penutup kepala, manakala Lippotex Industries Sdn Bhd pula menyumbang 5,000 unit pakaian pelindung.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X