Khamis, 23 April 2020 | 12:17pm
 Pelajar mengambil makanan disediakan di Pusat Khidmat Pelajar UiTM, Shah Alam susulan PKP. - Foto Foto Faiz Anuar/BH
Pelajar mengambil makanan disediakan di Pusat Khidmat Pelajar UiTM, Shah Alam susulan PKP. - Foto Foto Faiz Anuar/BH

'Tak sabar jumpa keluarga'

Kuala Lumpur: “Saya tak sabar nak pulang, berada bersama keluarga selepas lama duduk seorang diri di rumah sewa,” kata pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Muhammad Hisyam Zawawi.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari dari Sri Aman, Sarawak itu mengakui sedih kerana terpaksa bersendirian di rumah sewa di Puncak Alam, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

“Agak sedih kerana tinggal bersendirian apabila kawan-kawan lain sempat pulang, namun saya kuatkan semangat kerana ini (PKP) adalah untuk kebaikan semua. Sepatutnya saya pulang ke Sarawak 18 Mac lalu, tetapi tak sempat bila PKP dikuat kuasa.

“Memang gembira jika kerajaan benarkan kami pulang, namun prosedur perlu lebih ketat kerana saya tidak mahu jadi punca jangkitan pada keluarga pula,” katanya yang sudah menyimpan wang untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Sarawak.

Rakan sekampus, Asfarizul Abdullah, 24, juga tidak sabar menanti keputusan daripada kerajaan untuk pulang ke kampung di Pulau Pinang kerana sudah tertekan berada di rumah sewa.

“Jika dibenarkan pulang, soal keselamatan dan kesihatan pelajar perlu diutamakan kerana ini kali pertama pelajar berkumpul dalam jumlah yang ramai sejak PKP dikuatkuasakan. Pastinya, kami tidak mahu menjadi punca wabak COVID-19 merebak semula,” katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Interpersonal itu mengakui, pada minggu pertama PKP, agak sukar menyesuaikan diri kerana tidak banyak aktiviti, tetapi berjaya melaluinya selepas dua tiga minggu kemudian walaupun tekanan masih terasa.

“Mujur saya tiada masalah kewangan, makan minum juga cukup tetapi emosi terganggu,” katanya.

Pelajar Pengajian Akademik Kontemporari Islam UiTM, Mohd Adlan Suhaimi pula risau kerana kelas pengajian secara dalam talian sudah bermula.

“Semua pelajar dalam atau luar kampus berharap dapat pulang, lebih-lebih lagi Ramadan bakal tiba dan kemudian Syawal pula, namun yang merisaukan kami adalah jaringan internet (di kampung) kerana kami mempunyai kelas dalam talian,” katanya.

“Jika tidak pulang andai dibenarkan dalam tempoh terdekat ini, tidak tahu pula bila lagi peluang untuk pulang sekiranya PKP disambung,” katanya.

Universiti awam rangka SOP sendiri

Kuala Lumpur: Beberapa universiti awam (UA) bersama badan perwakilan pelajar masing-masing sudah merangka prosedur operasi standard (SOP) sendiri untuk menghantar pulang penuntut masing-masing yang terkandas di asrama atau rumah sewa.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad NurSyahmi Shaare, berkata pihaknya sudah menyusun pergerakan kira-kira 7,000 pelajar UiTM yang terkandas di seluruh negara, kebanyakannya penuntut Sabah dan Sarawak.

“Kami sudah berbincang dengan Malaysia Airlines (MAS) untuk menyusun pergerakan pelajar Sabah dan Sarawak. Bagi pelajar Semenanjung pula, kami akan memastikan mereka naik bas di dalam kampus, tidak perlu berkumpul di terminal dan kemudahan perjalanan perlu disediakan universiti,” katanya kepada BH.

NurSyahmi yang berharap proses penghantaran pulang pelajar dapat diselesaikan sebelum Aidilfitri pada Mei nanti, berkata cadangan kerajaan untuk membenarkan pelajar pulang amat baik kerana ketika ini, ada yang semakin tertekan dari segi emosi walaupun kebajikan mereka amat terjaga.

Yang Dipertua MPP Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Akmal Hakim Adnan pula berkata, setiap pelajar universiti itu akan menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan pulang.

“Kita sedang merangka SOP sendiri sebelum Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan cadangan yang lebih baik. Antaranya, memastikan setiap pelajar yang akan pulang nanti dalam keadaan sihat sepenuhnya.

“Begitu juga pelajar luar kampus (rumah sewa), mereka dicadangkan dikuarantin dahulu dalam kampus sekurang-kurangnya seminggu sebelum boleh dibenarkan pulang," katanya menambah, kaji selidik dijalankan mendapati lebih 900 daripada 1,400 pelajar UKM yang terkandas mahu pulang ke kampung masing-masing.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMM), Muhammad Haziq Azfar Ishak, berkata pihaknya ketika ini hanya menunggu 'lampu hijau' daripada kerajaan untuk membenarkan pelajar pulang.

“Kita sudah ada satu SOP menyeluruh, khususnya untuk pelajar dalam kampus kerana isu penghantaran pulang pelajar sudah diketengahkan kepada kementerian dua minggu lalu. Antaranya memastikan pelajar mengamalkan penjarakan sosial ketika di dalam bas.

“Biasanya sebuah bas boleh memuatkan 44 penumpang, tetapi SOP UM mengehadkan hanya 22 penumpang,” katanya sambil menambah, pihaknya juga turut berhubung dengan MAS untuk pergerakan pulang pelajar terkandas.

Di Kota Bharu, Yang Dipertua MPP Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Ahmad Hurairah Mohd Noor, berkata pihaknya bersedia sekiranya kerajaan membenarkan pelajar pulang kerana sudah menyiapkan data seperti nama dan destinasi pelajar termasuk yang mahu pulang ke Sabah dan Sarawak.

“Kami ambil inisiatif menghubungi setiap pelajar di dalam dan luar kolej, sama ada mereka mahu kekal di kolej atau pulang ke kampung. Kebanyakan memilih untuk pulang dan kami juga sudah merangka jadual pergerakan bas mengikut empat zon, iaitu utara, timur, selatan dan tengah.

“Bagi pelajar Sabah dan Sarawak, kami pecahkan kepada tiga kluster untuk memudahkan urusan penghantaran pulang. Kami berpendapat lebih baik hantar mereka pulang secara berperingkat kerana saya percaya kerajaan juga akan mengambil langkah terbaik,” katanya.

Di Alor Setar, Pemangku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Muhammad Nazmi Akmal Rahman, berkata pihaknya sudah mengumpul maklumat pelajar yang memerlukan pengangkutan untuk pulang ke kampung.

“Kami sentiasa akur dengan arahan kerajaan termasuk kekal berada di kampus sejak PKP dilaksanakan, cuma perasaan agak berbeza kerana kedatangan Ramadan. Kami berharap kerajaan dapat memberi kebenaran terutamanya kepada pelajar dari negeri yang dikategori sebagai zon hijau,” katanya ketika dihubungi.

Mengenai keadaan pelajar yang terkandas di kampus ketika ini, Muhammad Nazmi memaklumkan, kebanyakannya sibuk mengikuti kelas dalam talian dan menyiapkan tugasan selepas peperiksaan akhir yang sepatutnya diduduki pada Jun ini dibatalkan.

“Kebajikan pelajar juga terjamin dan mendapat bekalan makanan mencukupi, cuma mereka tidak dapat bergerak bebas seperti biasa,” katanya.

Penghantaran perlu ikut fasa: Lam Thye

Kuala Lumpur: Penghantaran pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), jika dibenarkan oleh kerajaan, wajar dilakukan secara berfasa.

Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Tan Sri Lee Lam Thye, berpendapat jika pelajar dibenarkan pulang pada skala besar pada satu-satu masa, ia mengundang kebimbangan terhadap penularan virus terbabit.

“Saya menyambut baik kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) merangka SOP (prosedur operasi standard) yang mesti dipatuhi semua pelajar IPT.

“Saya rasa perkara ini amat mendesak dan saya faham perasaan pelajar yang tidak dapat pulang. Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi, saya khuatir pelajar akan berdepan tekanan, keresahan dan kebimbangan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Lam Thye juga menyarankan setiap pelajar dibenarkan pulang, perlu menjalani saringan kesihatan selain menjaga disiplin diri dengan mengamalkan penjarakan sosial, duduk di rumah dan tidak mengingkari PKP.

“Kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk semua pelajar dan saya berharap mereka bersabar serta mematuhi SOP ditetapkan MKN,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X