Rabu, 22 April 2020 | 5:22pm

COVID-19: Satu lagi kematian hari ini

PUTRAJAYA: Jumlah pesakit pulih dari COVID-19 pada 24 jam lalu sebanyak 103 kes dan mereka dibenarkan pulang hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan jumlah berkenaan menjadikan jumlah terkumpul kes yang sudah pulih sepenuhnya dari COVID-19 sebanyak 3,452 kes atau 62.4 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Justeru, bilangan kes yang dibenarkan pulang hari ini lebih dua kali ganda, berbanding jumlah bilangan kes yang dilaporkan iaitu hanya 50 kes baharu.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 5,532 kes.

“Sehingga kini, seramai 43 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah berkenaan, 25 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 dan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 93 kes atau 1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-93 (kes ke-5,483) ialah seorang wanita warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah dan darah tinggi.

“Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.15 pagi tadi. Kementerian ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X