Rabu, 22 April 2020 | 1:57pm
Masjid Jamek Kampong Bharu.
Masjid Jamek Kampong Bharu.

COVID-19: Tiada bubur lambuk Kampong Baru tahun ini

KUALA LUMPUR: Pengurusan Masjid Jamek Kampong Bharu (MJKB) memaklumkan keputusan membatalkan program edaran bubur lambuk yang menjadi program tahunan sempena Ramadan tahun ini.

Pengerusi MJKB, Datuk Idris Shaari Mat Aris, berkata keputusan membatalkan program tahunan masjid itu dibuat selepas mengambil kira penularan COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Bagaimanapun katanya, program edaran bubur lambuk itu berkemungkinan diteruskan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 yang dijadual berakhir 28 April ini, tidak dilanjutkan.

Pembatalan itu sekali gus menghilangkan 'seri' sambutan Ramadan kali ini memandangkan program bubur lambuk masjid berkenaan amat popular setiap kali Ramadan.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira banyak faktor, termasuk tenaga kerja antara 30 hingga 40 orang yang diperlukan untuk menyediakan 20 periuk bubur lambuk.

"Tambahan, semua petugas yang akan menyediakan bubur lambuk belum mendapatkan suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid) kerana beberapa kekangan ekoran PKP.

"Kita sangat sedih kerana terpaksa membatalkan program ini buat pertama kali sejak penganjurannya. Tetapi keputusan ini adalah yang terbaik buat masa ini," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Kebiasaannya, masjid itu mengedarkan 4,000 bubur lambuk setiap hari sepanjang Ramadan setiap tahun dengan proses penyediaannya diketuai Zainal Abidin Hamid, 65, sebagai tukang masak generasi keempat.

Lebih RM100,000 dibelanjakan MJKB setiap tahun bagi memasak bubur lambuk yang menjadi tumpuan warga kota setiap kali Ramadan, selain kira-kira 5,850 kilogram beras digunakan bagi penyediaan juadah itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X