Selasa, 21 April 2020 | 3:36pm
Bomba menggunakan helikopter Agusta AW189 bagi memadamkan kebakaran di tanah gambut seluas 100 hektar di Kompartmen 21 Hutan Simpan Kuala Langat Selatan. - KHIS/Muhd Asyraf Sawal
Bomba menggunakan helikopter Agusta AW189 bagi memadamkan kebakaran di tanah gambut seluas 100 hektar di Kompartmen 21 Hutan Simpan Kuala Langat Selatan. - KHIS/Muhd Asyraf Sawal

Helikopter bomba gugurkan 10,800 liter air di hutan simpan terbakar

BANTING: Helikopter Agusta AW189 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggugurkan 10,800 liter air di kawasan kebakaran di kompartmen 21, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan pagi tadi.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, berkata unit udara JBPM menjalankan operasi ‘water bombing’ bagi membantu memadam kebakaran bermula jam 9.30 pagi.

“Hingga jam 11.50 pagi, empat kali ‘water bombing’ dilaksanakan di sektor A kompartmen 21. Air diambil dari laut pada jarak 10 kilometer dari lokasi kebakaran.

“Setiap perjalanan, helikopter boleh membawa 2,700 liter air,” katanya sambil menambah operasi pemadaman disambung sebelah petang.

Anggota bomba memadam kebakaran hutan simpan. KHIS/Muhd Asyraf Sawal
Anggota bomba memadam kebakaran hutan simpan. KHIS/Muhd Asyraf Sawal

Operasi ‘water bombing’ dilaksanakan di kawasan yang sukar dimasuki melalui jalan darat.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim mengesahkan pihak Ibu Pejabat APMM Putrajaya sudah menerima permohonan untuk menggunakan pesawat Bombardier CL 415 milik APMM.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian memaklumkan untuk mendapatkan bantuan pesawat terbabit untuk ‘water bombing’.

Berita Harian X