Selasa, 21 April 2020 | 2:56pm

COVID-19: Kerajaan timbang benarkan pelajar universiti pulang

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia menimbang membenarkan kira-kira 100,000 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara yang sedang kuarantin di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada nasihat Kementerian Kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan pulang yang ketat.

“Kita tidak mahu 100,000 pelajar ini pulang serentak. Kita mungkin memastikan pelajar perlu mendapatkan saringan kesihatan sebelum pulang ke kampung.

“Itu perkara yang kita lihat dan minta supaya rundingan diadakan di antara Kementeran Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan supaya dapat lihat bagaimana nak bantu pelajar pulang ke rumah masing-masing,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Kerajaan sebelum ini memutuskan pelajar IPT awam, swasta dan kolej komuniti kekal berada di kampus kediaman masing-masing, sepanjang PKP berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu sehingga 28 April ini bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Ismail Sabri, berkata kerajaan membuat pertimbangan itu selepas mengambil kira rintihan pelajar dan ibu bapa selain melihat kepada rekod tiada penuntut dijangkiti COVID-19 sepanjang tempoh kuarantin di kampus selepas 28 hari PKP dilaksanakan.

"Kita faham ibu bapa dan pelajar IPT tertekan kerana mereka berada lama di kampus masing-masing. Kita mendapat rayuan daripada ibu bapa dan pelajar yang ingin pulang ke kampung.

"Mesyuarat sebelum ini kita buat keputusan mereka perlu terus tinggal di kampus sehingga mendapat nasihat Kementerian Kesihatan. Hari ini kita dapat pandangan daripada Kementerian Kesihatan, mereka berada di kampus lebih daripada 28 hari.

"Jika dikuarantin dan sudah dua kali tempoh 14 hari tidak ada gejala, kita anggap mereka tidak ada jangkitan COVID-19. Maka kita bincang tadi ada kemungkinan kita membenarkan mereka pulang tapi dengan SOP yang ketat," katanya.

Ismail Sabri berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan KPT akan mengeluarkan SOP untuk menguruskan perjalanan pulang pelajar universiti ke rumah masing-masing.

Beliau berkata, antara SOP yang diambil kira ialah tempoh yang perlu diambil untuk melakukan proses saringan kesihatan kira-kira 100,000 pelajar IPT terbabit dan bagaimana mengelak pergerakan secara massa.

"Berdasarkan faktor itu, barulah boleh ditentukan nanti bila tarikh untuk dibenarkan pulang. Kalau dibenarkan pulang nanti MKN, KKM dan KPT akan mengeluarkan SOP penghantaran pulang.

"Yang penting, kita tidak mahu berlaku pergerakan besar-besaran. Bayangkan jika mereka balik serentak, bas berbondong-bondong balik dan singgah di hentian rehat (RNR), akan berlaku pertembungan yang besar, kita nak cuba elak perkara itu," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
    Berita Harian X