Isnin, 20 April 2020 | 9:13pm
EXCO Selangor Hee Loy Sian meninjau kebakaran hutan di kompartmen 21 dalam Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) yang kini merebak seluas 80 hektar disyaki berpunca daripada aktiviti pertanian haram. - Foto NSTP/Ihsan Kerajaan Negeri

Cuaca kering, pencerobohan mungkin punca hutan simpan terbakar

PETALING JAYA: Cuaca panas dan kering dipercayai menjadi punca yang menyebabkan berlaku kebakaran di Kompartmen 21, Hutan Simpan Hulu Langat Selatan yang dikesan sejak kelmarin namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada kegiatan pencerobohan hutan.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang, berkata punca sebenar kebakaran kawasan dianggarkan 65 hektar itu belum dapat dipastikan namun keadaan cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara ketika ini banyak menyumbang kepada berlaku kebakaran.

Lokasi kebakaran adalah kawasan paya gambut juga boleh menjadi penyebab kepada berlakunya kebakaran hutan di situ.

“Tanah gambut terdiri daripada bahan organik yang terurai dan menyerap air ketika musim hujan dan apabila musim kering, bahan organik itu akan menjadi kering dan mudah terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Risiko kebakaran di paya gambut akan menjadi semakin tinggi apabila terdapat faktor luaran yang boleh mencetuskan insiden kebakaran seperti pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri akan terus beroperasi dan membuat rondaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi Akta Perhutanan Negara 1984.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan dengan insiden kebakaran hutan, kesalahan hutan atau pencerobohan hutan kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menerusi talian Hotline 012-710 6004.

Usaha memadam kebakaran kini sedang dilakukan dengan diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dibantu Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Jabatan Mineral dan Geosains Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian, berkata kebakaran kini merebak hingga 80 hektar disyaki berpunca dari aktiviti pertanian haram.

Ada pengusaha tanaman kontan cuba menceroboh kawasan itu dan membakar hutan sedia ada untuk tujuan pertanian.

“Kita syak ada petani tidak bertanggungjawab membakar hutan itu sehingga menyebabkan ia merebak ke hutan simpan, tambahan pula cuaca yang panas, kering dan berangin menyebabkan kebakaran cepat merebak.

EXCO Selangor Hee Loy Sian meninjau kebakaran hutan di kompartmen 21 dalam Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) yang kini merebak seluas 80 hektar disyaki berpunca daripada aktiviti pertanian haram. - Foto NSTP/Ihsan Kerajaan Negeri
EXCO Selangor Hee Loy Sian meninjau kebakaran hutan di kompartmen 21 dalam Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) yang kini merebak seluas 80 hektar disyaki berpunca daripada aktiviti pertanian haram. - Foto NSTP/Ihsan Kerajaan Negeri

“Kebakaran yang bermula kira-kira 30 hektar, sekarang merebak seluas 80 hektar. Kawasan ini tiada jalan masuk dan tidak pernah berlaku kebakaran di sini,” katanya dalam sidang media selepas meninjau lokasi kebakaran terbabit.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis.

Empat jentera pengorek sudah digerakkan untuk membuat jalan masuk bagi kerja-kerja memadam kebakaran.

Kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan bantuan pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk pemadaman dari udara.

Semalam, BH melaporkan JBPM mengalami kesukaran dalam usaha pemadaman kebakaran disebabkan tiada laluan masuk, tiada laluan kenderaan, tiada sumber air serta keadaan cuaca.

Berita Harian X