Isnin, 20 April 2020 | 4:20pm
COVID-19 Gambar hiasan.
COVID-19 Gambar hiasan.

COVID-19: Mesej palsu ganggu psikologi warga emas

KUALA LUMPUR: Maklumat palsu mengenai coronavirus (COVID-19) yang disebar melalui aplikasi telefon serta kawalan pergerakan ke rumah ibadat antara faktor yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan kesejahteraan psikologi terhadap warga emas.

Pensyarah Kanan Klinikal Psikologi Penyelidik Bidang Psikologi Warga Emas dan Dimensia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr S Ponnusamy, berkata selain dari ancaman kesihatan fizikal, COVID-19 juga menyebabkan gangguan kesejahteraan psikologi warga emas di negara ini.

Ponnusamy berkata, fakta salah berhubung COVID-19 yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab berupaya meningkatkan kerisauan, kebimbangan dan rasa murung dalam kalangan golongan itu dan menjejaskan kesejahteraan psikologi mereka.

Justeru katanya, gangguan kesejahteraan psikologi ini juga dikhuatiri membawa kesan buruk terhadap kesihatan fizikal warga emas dan langkah penjagaan kesihatan mental serta usaha untuk meningkatkan kesejahteraan psikologi perlulah digiatkan dalam masa mencabar ini.

“Kira-kira 95 peratus pesanan mesej termasuk yang disebarkan di aplikasi Whatsapp mengenai COVID-19 adalah kurang tepat dan banyak yang palsu yang boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi warga emas.

“Justeru, mereka perlu difahami dengan jelas fakta mengenai COVID-19 dan tingkatkan kesedaran mengenai tujuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), biasanya kesedaran yang terbina berasaskan fakta betul akan lebih menenangkan jiwa warga emas.

“Selain itu, pengurangan aktiviti keagamaan di luar rumah, kehilangan aktiviti sosial dan kekeluargaan bersama anak dan cucu selain takut dijangkiti COVID-19 dan kematian diri sendiri atau orang tersayang turut memberi kesan kepada psikologi mereka, ” katanya.

Pada masa sama, Ponnusamy berkata, antara pendekatan boleh dilakukan warga emas daripada risiko terhadap kesihatan mental mereka ialah pilih untuk kekal tenang dan tidak berasa tertekan dengan tidak risau terhadap perkara di luar kawalan mereka.

Katanya, selain itu penting bagi warga emas untuk menolak emosi negatif yang disebabkan oleh pemikiran sendiri dan keadaan persekitaran dengan memikirkan perkara menarik atau lucu yang pernah berlaku serta kongsikannya bersama orang lain.

“Kesejahteraan psikologi dalam kalangan warga emas adalah penting dan langkah proaktif perlu diambil untuk menjaga kesejahteraan psikologi kerana persepsi terhadap COVID-19 dan PKP boleh mengancam kesihatan mental, ” katanya.

Sementara itu, Pengerusi, Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan UKM, Prof Dr Devinder Kaur Ajit Singh, berkata warga emas disaran melakukan aktiviti fizikal sebanyak 150 minit dengan intensiti sederhana seminggu atau sebanyak 30 minit sehari untuk lima hari dalam seminggu sepanjang PKP untuk kekal sihat.

Beliau berkata, kajian kepustakaan dari pasukan perkhidmatan bukti Oxford COVID-19, bertajuk ‘memaksimumkan mobiliti dalam kalangan warga emas sepanjang pengurungan dari COVID-19’ pada 20 Mac lalu, terbukti bermanfaat untuk mengurangkan jatuh, keuzuran and meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan warga emas.

Katanya, melakukan senaman bukan sahaja dapat megekalkan fungsi fizikal, malah dapat meningkatkan kekuatan sistem imun tubuh badan manusia selain membantu meningkatkan kekuatan sistem imun badan dalam mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan warga emas.

“Senaman untuk pelbagai komponen fizikal yang dicadangkan termasuklah kekuatan otot, mobiliti, keseimbangan, kelenturan atau regangan, ketangkasan, ketahanan dan kefungsian contohnya untuk kekuatan anggota atas badan; senaman duduk dan berdiri setempat boleh dilakukan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X