Ahad, 19 April 2020 | 2:40pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Penangguhan haji akan dimaklumkan lebih awal kepada bakal jemaah

KOTA BHARU: Keputusan kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan solat tarawih berjemaah di masjid di negara itu sepanjang Ramadan ini, menjadi isyarat awal kemungkinan tiada ibadat haji musim ini.

Sehubungan itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata bakal jemaah yang sudah mendapat surat tawaran daripada Lembaga Tabung Haji (TH) diminta bersedia dengan sebarang keputusan.

Beliau berkata, kerajaan akan memaklumkan penangguhan ibadat haji lebih awal kepada bakal jemaah dan sehingga kini pihaknya belum mendapat maklumat rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung penangguhan itu.

Katanya, pihak kementerian juga sudah mengunjungi kedutaan Arab Saudi di Malaysia bagi mendapatkan kesahihan, namun mereka juga masih menunggu keputusan rasmi.

“Saya sudah memaklumkan kepada Tabung Haji supaya memaklumkan lebih awal kepada bakal jemaah berhubung penangguhan ibadat haji. Kita tidak mahu memaklumkan secara mengejut kerana bimbang mereka sudah membuat segala persiapan.

“Namun, baru-baru ini kerajaan Arab Saudi mengumumkan tiada solat tarawih (secara berjemaah di masjid), kita beranggapan itu adalah ‘signal’ awal bakal tiada ibadat haji.

“Kita minta rakyat bersedia dengan sebarang keputusan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada Pondok Pasir Tumbuh bernilai RM23,400.

Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat (dua kiri) menyampaikan bakul makanan kepada mangsa banjir ketika mengadakan lawatan di Pusat Pemindatah Sementara, Dewan Sivik Kampung Air Putih.- FOTO NSTP/Baharom Bakar
Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat (dua kiri) menyampaikan bakul makanan kepada mangsa banjir ketika mengadakan lawatan di Pusat Pemindatah Sementara, Dewan Sivik Kampung Air Putih.- FOTO NSTP/Baharom Bakar

Akhbar sebelum ini melaporkan, Arab Saudi menggesa umat Islam untuk menangguhkan rancangan menunaikan haji sehingga wabak COVID-19 dapat dikawal.

Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh Benten, dilaporkan berkata Arab Saudi bersedia menerima jemaah haji dan umrah namun dalam keadaan dunia berdepan wabak COVID-19, kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam.

Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

Negara itu juga mengumumkan solat tarawih secara berjemaah di masjid tidak dibenarkan sepanjang Ramadan tahun ini susulan penularan wabak COVID-19 di negara itu.

Penduduk diminta solat di rumah sepanjang tempoh berkenaan sehingga berakhirnya jangkitan wabak berkenaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X