Sabtu, 18 April 2020 | 3:29pm
Penghantar makanan menguruskan tempahan makanan di Cyberjaya. - Foto BERNAMA
Penghantar makanan menguruskan tempahan makanan di Cyberjaya. - Foto BERNAMA

Syor pengendali e-hailing kurangkan caj keuntungan

KUALA LUMPUR: Peniaga kecil dan pengusaha makanan mahu pengendali e-hailing mengurangkan caj keuntungan yang ditawarkan bagi membantu golongan itu menjana pendapatan sepanjang Ramadan.

Ini kerana sepanjang Ramadan waktu beroperasi bukan saja terhad, namun peniaga juga terpaksa berkongsi keuntungan dengan pengendali e-hailing.

Menurut Mohd Firdaus Abd Wahid, peniaga kecil dan pengusaha makanan yang mahu menggunakan perkhidmatan e-hailing perlu berkongsi keuntungan sehingga 35 peratus daripada jumlah jualan harian.

Bagaimanapun, beliau yang mengusahakan Restoran Ayam Gepuk Pak Gembus, berkata sekiranya tidak bekerjasama dengan pengendali e-hailing, mereka berdepan risiko kehilangan punca pendapatan.

“Kebanyakan peniaga kecil tidak mampu berurusan dengan pengendali e-hailing... selain kos yang tinggi, keuntungan harian yang diperoleh juga adalah kecil.

“Namun, mahu atau tidak, buat masa ini, peniaga tidak boleh bergantung kepada jualan di kedai ataupun bazar Ramadan.

Sehubungan itu, kami berharap supaya pengendali e-hailing dapat membantu kami terutama sepanjang Ramadan,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Mohd Firdaus turut memohon kerajaan supaya menetapkan waktu perniagaan yang baharu untuk Ramadan bagi membolehkan peniaga dan pengusaha membuat perancangan awal.

Sementara itu, Wan Muhd Hafiz Wan Zaizodin, berkata peniaga kecil dan pengusaha makanan tidak mempunyai pilihan selain perlu meletakkan harga yang tinggi terhadap makanan dan barangan yang dijual.

Wan Muhd Hafiz yang mengusahakan Dapur Cahaya sepanjang Ramadan, berkata mereka bukan saja perlu menanggung kos bahan mentah, namun, kini terpaksa menampung kos penghantaran.

“Ada pelanggan yang tidak mahu membayar kos penghantaran sehingga tempahan makanan yang sudah disiapkan terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian.

“Bagaimanapun, ramai dalam kalangan peniaga yang dilihat cuba untuk mengurangkan kos bahan mentah bagi membolehkan pelanggan membeli pada harga yang lebih murah,” katanya yang mengusahakan perniagaan berasaskan nasi bersama kakaknya, Wan Zazreena.

Berita Harian X